Setakat ini, Residensi22 Mont’Kiara yang mencapai kadar ambilan sebanyak 98 peratus dibina di kawasan tanah pegangan bebas seluas 2.2 hektar yang terletak di sepanjang Jalan Kiara 4 di Mont’Kiara dengan nilai pemba­ngunan kasar (GDV) RM971 juta.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya berharap projek itu dapat disiapkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini sebelum kunci dapat diserahkan kepada pembeli.

“Kami berharap para pembeli gembira dengan kemudahan yang ditawarkan UEM Sunrise dan menikmati sepenuhnya kehi­dupan di sekitar bandar kosmopolitan Mont’Kiara,” katanya da­lam kenyataan di sini hari ini.

UEM Sunrise telah melengkapkan pembangunan struktur projek tersebut dalam satu majlis meletakkan struktur (topping out ceremony) yang diadakan 18 Februari lalu.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi Pembangunan UEM Su­nrise, Datuk Roslan Ibrahim; Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Azhar Othman dan Pe­ngarah Projek Central 2, Liong Kok Kit; Pengarah Urusan Kumpulan Pembinaan Mitrajaya Sdn. Bhd., Tan Eng Piow dan Pengarah Projek Pembinaan Mitrajaya Sdn. Bhd., Yap Cheng Hong.

Residensi22 Mont’Kiara yang dilancarkan pada September 2013 merupakan projek bertingkat terbaharu UEM Sunrise terdiri daripada 534 unit kondominium dibahagikan kepada dua menara, masing-masing 39 dan 40 tingkat.

Kondominium itu dijual pada harga antara RM1.3 juta dan RM3.2 juta dan unit tersebut ditawarkan dalam tujuh jenis iaitu Jenis A hingga G dengan saiz antara 1,878 kaki persegi hingga 3,163 kaki persegi.

Tertakluk kepada Indeks Ba­ngunan Hijau (GBI) yang ketat untuk kelestarian alam sekitar, Re­sidensi22 Mont’Kiara menawarkan ruang awam yang mampu memupuk gaya hidup sihat.

Antara kemudahan disediakan termasuk dewan makan, taman permainan kanak-kanak, ge­langgang bola keranjang, badminton dan gimnasium, manakala ruang tempat letak kereta dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan berpagar.