Melalui laman web, anda bebas untuk membuat apa jua perubahan padanya. Anda bebas mendapatkan trafik, mele­takkan iklan, menukar nama laman web yang anda suka tanpa perlu mendapatkan kebenaran sesiapa, mengajak orang lain untuk mengikuti anda melalui berita berkala mingguan yang disediakan, berinteraksi secara langsung dengan mereka dan juga membolehkan juga anda mempu­nyai URL atau alamat di internet yang menggunakan nama anda sendiri, tanpa perlu membayar berlebih-lebihan.

Anda cuma perlu risau tentang pembayaran apabila nama domain dan juga hosting akan tamat tempoh. Itu pun hanya setahun atau dua tahun sekali, itu sahaja.

Dalam era yang serba moden ini, kita melihat lebih ramai individu yang ingin bekerja untuk diri mereka sendiri. Mereka tidak lagi berminat untuk be­kerja dengan orang lain sepenuh masa. Mungkin kerana mereka ingin mempunyai kehidupan yang seimbang, tidak boleh bangun pagi atau pelbagai sebab yang lain.

Kini lebih ramai individu yang dikenali sebagai freelancer, penulis blog, juruperunding, pelancong sepenuh masa dan sebagainya. Golo­ngan ini tidak terikat dengan masa dan pendapatan yang diberikan oleh orang lain kerana mereka sendiri yang menentukan bagaimana masa yang digunakan, mencorak pendapatan mereka untuk terus hidup.

Budaya yang semakin berkembang ini bukan sahaja menarik kepada Golongan Millennial, tetapi Golongan GenX juga. Bagi yang inginkan risiko sebegini, pulangannya memang tinggi. Ia sesuai dengan risiko besar yang ditanggung.

Biasanya yang mempunyai­ pulangan yang tinggi itu mampu mendapatkannya apabila mereka dipercayai oleh para pelanggan mereka. Keba­nyakannya mempunyai laman web mereka sendiri untuk mencapai objektif dalam mendapatkan kepercayaan tadi.

Bagaimana untuk mereka bentuk laman web agar kepercayaan orang lain boleh diperoleh dengan berkesan? Terdapat beberapa elemen penting yang perlu ada pada laman web anda.

Mudah dilayari.

Anda perlu mempunyai tema atau rekabentuk yang sangat mudah dilayari dan juga mesra kepada peranti mudah alih.

Cinta pandang pertama.

Para pengunjung mesti tertarik dengan pemilihan warna yang sesuai, rekabentuk yang menarik, gambar yang beresolusi tinggi kepunyaan anda dan sebagainya yang bakal membuatkan mereka untuk kekal lama apabila mereka di dalamnya. Ia juga perlu membuatkan mereka untuk datang kembali apabila mereka di internet.

Gambar milik sendiri.

Banyak laman web yang menggunakan gambar di Google, membuatkan ia kelihatan ‘biasa’ yang sama dengan laman web orang lain. Jadi gunakan gambar-gambar milik sendiri yang beresolusi tinggi yang sesuai dengan apa yang jenama anda perjuangkan.

Nama domain anda sendiri yang mudah.

Ia perlu sama dengan nama jenama anda atau nama anda sendiri. Ia perlu ringkas, se­nang dieja dan senang diingati. Anda juga perlu membeli domain anda sendiri agar alamat laman web anda tidak mempunyai perkataan wordpress, wix, blogspot ataupun tumblr di dalamnya. Anda tentu tidak mahukan orang melihat anda menggunakan pelan percuma yang sedikit sebanyak akan ‘mencemarkan’ kredibiliti anda secara tidak langsung.

Blog.

Tanpa mempunyai menu Blog pada laman web, anda akan mempunyai kesukaran untuk mengemas kini maklumat terbaharu. Dengan Blog, anda boleh bercerita tentang pendapat anda, berkongsi tentang bagaimana untuk mela­kukan sesuatu, aktiviti anda, berita dan sebagainya. Setiap perkataan baharu yang ada, Google akan menghantar algoritma mereka ke laman web anda untuk diindeks. Hanya setelah diindeks, baru laman web anda akan disenaraikan di Google untuk mudah dicari.

Tentang anda.

Para pengunjung sudah pasti ingin mengetahui siapakah anda, mengapa mereka perlu percaya kepada anda dan me­ng­apa mereka perlu membeli daripada anda. Semuanya anda perlu tulis pada ruangan ini.

Hubungi anda.

Anda harus mempunyai alamat tetap agar kelihatan profesional. Anda juga harus mempunyai satu borang dalam talian di sini agar sesiapa sahaja yang berminat untuk mendapatkan khidmat anda boleh mengisinya di situ. Dan ia akan terus dihantar kepada e-mel anda.

Ikon Facebook Messenger yang terapung.

Ikon terapung Facebook Messenger ini mudah kerana ia membolehkan para pengunjung untuk berinteraksi dengan anda secara langsung. Anda cuma perlu mempunyai akaun Facebook, itu sahaja.