Ketua Pegawai Jualan redONE, Ben Teh berkata, sasaran berkenaan merupakan peningkatan RM4.14 bilion berbanding pendapatan yang dicatatkan syarikat tahun lalu iaitu RM300 juta dan unjuran RM500 juta pada tahun ini.

Katanya, redONE yakin unjuran tersebut dapat dicapai memandangkan syarikat telekomunikasi berkenaan berada dalam proses transformasi termasuk sedang berusaha melebarkan sayap perniagaan ke pasaran ASEAN dan China.

“Kami gembira menyatakan bahawa redONE akan menjadi MVNO tempatan pertama yang akan meluaskan perniagaan di luar Malaysia dengan tahun ini kami akan menembusi pasaran Singapura dan Indonesia serta Vietnam, Thailand dan Filipina tahun depan. Ini sejajar dengan hasrat kami menjadi MVNO terbesar ASEAN menjelang 2018.

“Kami juga sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran China pada tahun 2018 dengan harapan menjadi jenama global dan saya yakin dapat (pendapatan) mencecah AS$1 bilion (RM4.45 bilion) pada 2020,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

RedONE merupakan MVNO yang beroperasi sejak 2012 dengan menggunakan rangkaian infrastruktur Celcom Axiata, namun menawarkan harga jauh lebih rendah bagi pengguna tanpa mengabaikan ciri-ciri nilai tambah.

Mengulas lanjut, Teh berkata, redONE terus mengekalkan strategi perniagaan yang sama sejak 2012 iaitu berkongsi pendapatan dan sentiasa menghargai peniaga yang berdaftar dengan syarikat berkenaan.

Jelasnya, redONE sudah dikenali sebagai sebuah syarikat te­lekomunikasi pertama di dunia yang mementingkan rakan niaga dengan berkongsi pendapatan bersama keluarga terdekat walaupun sudah mening­gal dunia.

“Kami mendapat sambutan menggalakkan untuk menjadi rakan niaga redONE dengan sehingga kini kami mempunyai 2,000 rakan niaga bagi pakej pasca bayar dan 400 untuk rakan niaga prabayar. Sasaran kami adalah untuk mempunyai 6,500 rakan niaga tahun ini untuk kedua-dua pakej.

“RedONE juga menyediakan hadiah menarik buat rakan niaga melalui Bonanza Emas dan Bonanza Kereta dengan memperuntukkan 2.4 kilogram emas tulen 999.9 selama 10 bulan tahun ini dan 12 buah kereta berharga RM120,000 sebuah khas buat rakan niaga yang berjaya mencapai sasaran perniagaan,” katanya.