Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sazali Hamzah berkata, beberapa syarikat daripada Jepun, Korea Selatan, China, Taiwan dan Itali telah menunjukkan minat terhadap Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Kata beliau, berdasarkan perancangan awal, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan membangunkan kompleks tersebut bersama Evonik Industries AG, BASF SE dan Kuokuang Petrochemical Technology Co. namun perkara tersebut tidak menjadi kenyataan.

“Buat masa ini agak sukar untuk mencari pelabur terutama dalam industri minyak dan gas memandangkan terdapat ketidaktentuan terhadap pasaran minyak.

“Bagaimanapun, jika agenda semua pihak selari, barulah perkara tersebut dapat direalisasikan,” katanya dalam temu bual dengan Bloomberg di sini hari ini.

Projek RAPID yang diumumkan pada 2011 mendapat pelaburan bernilai AS$7 bilion (RM31.13 bilion) daripada pengeksport terbesar minyak mentah dunia, Saudi Arabian Oil Co. (Saudi Aramco) pada bulan lalu.

Tambah Sazali, dengan pembangunan RAPID dipercepatkan, Petronas Chemicals merancang untuk meningkatkan perbelanjaan modal sebanyak satu perempat tahun ini berbanding kira-kira RM4 bilion tahun lalu.

Katanya, peningkatan perbelanjaan tersebut akan meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 10.8 juta tong setahun kepada 16 juta tong setahun menjelang 2020.

“RAPID menyediakan integrasi penuh dengan kemudahan infrastruktur, sokongan dan juga kawasan yang besar untuk pengembangan masa depan. Pelaburan berikutnya di luar projek RAPID semasa akan menikmati penjimatan dan menjadi salah satu mengapa RAPID berupaya menarik para pelabur.

“Kami juga mahu mengembangkan lagi perniagaan dalam derivatif, pengkhususan kimia serta sedang dalam penilaian pengeluaran Ethylene, propylene dan butadiene. RAPID akan kekal fokus dan syarikat akan secara aktif mencari potensi pengambilalihan di luar negara pada masa hadapan,” katanya.