Pengarah Penyelesaian Per­khidmatan Kewangan Unisys Asia Pasifik, Ian Selbie berkata, orang ramai lebih selesa menggunakan identiti digital untuk berurusan dengan kerajaan.

Menurut beliau, kebimbangan orang ramai menjurus kepada faktor keselamatan terhadap data yang digunakan kerana boleh mengakibatkan kecurian identiti, penyalahgunaan kad kredit dan potensi peranti digodam selain penyebaran virus.

“Kebimbangan masyarakat terhadap perkara ini mengatasi ancaman fizikal seperti bencana alam atau pengganas. Hal ini menyebabkan usaha untuk melaksanakan perkhidmatan kewangan berasaskan identiti digital baharu akan terganggu.

“Berdasarkan tinjauan yang dibuat kebimbangan rakyat terhadap keselamatan masih tinggi dan tiada perubahan berbanding tahun lalu. Malaysia kini berada di kedudukan ketiga daripada 13 buah negara di belakang Filipina dan Colombia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tinjauan juga mendapati majoriti masyarakat selesa menggunakan beberapa bentuk identiti digital bagi berinteraksi dengan organisasi kerajaan berbanding penyedia perkhidmatan untuk tujuan komersial.

Katanya, penggunaan identiti digital dalam sektor perbankan di Asia akan dilaksanakan secara meluas pada masa depan.

“Malaysia lebih terbuka dalam melaksanakan identiti digital untuk urusan kerajaan berbanding sistem perbankan dan entiti komersial. Penyedia perkhidmatan perlu mendapatkan lebih kepercayaan dan membina keyakinan pelanggan terhadap pembaharuan yang dilakukan.

“Rakyat Malaysia biasanya cenderung ke arah digital. Oleh itu, penyedia perkhidmatan perlu menunjukkan bagaimana isu keselamatan data diatasi dan menggunakannya sebagai pembezaan yang kompetitif,” jelasnya.

Laporan Indeks Keselamatan Unisys 2018 turut mendedahkan kebimbangan masyarakat terhadap isu keselamatan berbeza mengikut kawasan yang mana bahagian Semenanjung lebih mementingkan keselamatan data manakala penduduk Sabah dan Sarawak menguta­makan ancaman fizikal.