Menteri Perusahaan Perla­dang­­an dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, dana tersebut akan melibatkan kerjasama dengan syarikat swasta dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Katanya, geran pemadanan itu dapat membantu aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah memastikan aspek ke­selamatan makanan dan mengurangkan pencemaran dalam mi­nyak sawit.

“Kita mengalu-alukan syarikat swasta termasuk kilang penapisan dan pemprosesan minyak sawit untuk bekerjasama dengan MPOB supaya kualiti pengeluaran dan hasil minyak sawit dapat diper­tingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Minyak Laurik (POC2017) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk M. Nagarajan.

POC 2017 kali ke-28 yang diadakan selama dua hari itu diha­diri kira-kira 2,000 peserta dari 59 buah negara.

Mengenai sasaran eksport tahun ini, Siew Keong berkata, kerajaan mengunjurkan nilai yang lebih tinggi iaitu RM70 bilion berbanding RM67 bilion tahun lalu.

Beliau memberitahu, isu diplomatik antara Korea Utara dengan Malaysia tidak menjejaskan eksport minyak sawit dan produk minyak sawit kerana ia dalam jumlah yang kecil.

“Pada tahun lalu sahaja jumlah dagangan ke Korea Utara hanya RM18 juta dan RM10.7 juta daripadanya adalah bagi minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit. Hanya 40 peratus daripada jumlah ini adalah eksport sawit dan getah,” katanya.

Sementara itu, Siew Keong berkata, Malaysia masih berun­ding dengan Indonesia berkenaan struktur duti eksport mi­nyak sawit dan berharap ia dapat dimuktamadkan.