Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

R&D: FGV peruntuk RM40j setahun

BANGUNAN Pusat Inovasi penyelidikan dan pembangunan kelapa sawit
BANGUNAN Pusat Inovasi penyelidikan dan pembangunan kelapa sawit Felda Global Ventures di Bandar Enstek Nilai, Negeri Sembilan. utusan/MOHD. NAIM AZIZ

JERANTUT 7 Mei – Felda Global Venture (FGV) Bhd. memperuntukkan RM40 juta setahun bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk dua syarikat penyelidikannya, FGV R&D Sdn. Bhd. (FGVR&D) dan FGV Applied Technologies Sdn. Bhd. (FGVAT) bagi meningkatkan teknologi huluan dan hilirannya.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV R&D Sdn. Bhd., Dr. Sharifah Shahrul Rabiah Syed Alwee berkata, FGVR&D yang dipertanggungjawabkan bagi aktiviti R&D huluan, secara amnya terlibat dalam kajian sains biologi manakala FGVAT pula dalam R&D hiliran termasuk makanan dan bukan makanan menggunakan minyak sawit.

Beliau berkata, FGVR&D diperuntukkan sebanyak RM30 juta setahun manakala FGVAT sebanyak RM10 juta setahun. Kedua-dua syarikat mempunyai 460 pekerja.

“Peruntukan FGVR&D dibiayai sepenuhnya oleh Felda Agricultural Services Sdn. Bhd. (FASSB), cabang komersial yang mengkomersialkan pengeluaran R&D hiliran manakala FGVAT memperoleh RM10 juta daripada entiti FGV lain.

“Melalui pengkomersialan pro­duk, sejumlah keuntungan FASSB akan dikembalikan untuk R&D,” katanya kepada pemberita semasa lawatan media selama dua hari ke kemudahan penyelidikan dan pembangunan di Enstek, Negeri Sembilan dan Tekam, Pahang, baru-baru ini.

FASSB memperuntukkan 12,000 hektar, di mana 2,400 hektar digunakan untuk tujuan R & D seperti ujian pembiakan, ujian agronomi dan ujian perlindungan tanaman, manakala selebihnya digunakan untuk perladangan komersial yang mengguna pakai penemuan R&D.

“Sebab itulah ladang ini mempunyai hasil yang lebih tinggi berbanding ladang FGV lain, dan ia juga adalah penjana pendapatan utama FASSB,” kata beliau.

FASSB mencatatkan perolehan sebanyak RM210 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM65 juta pada 2016, dan dijangka meningkat pendapatannya kepada RM236 juta pada tahun ini, katanya.

Beliau berkata, antara output R&D yang telah dikomersialkan ialah bahan tanaman seperti benih kelapa sawit, anak benih, pokok klon, produk agronomi dan produk perlindungan tanaman.

FGV kini menguasai bahagian pasaran terbesar daripada 43 peratus bagi benih, menjual kira-kira 20.26 juta benih daripada 50.14 juta benih yang dijual di Malaysia pada 2016.

Beliau berkata, FGV juga mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 30 juta setahun daripada tiga pusat pengeluaran benih termasuk Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak PPPTR di Jerantut (yang terbesar), Sabah and Ulu Belitung Johor.

Tahun ini, sasaran kumpulan untuk menghasilkan 25 juta biji benih (berharga RM2.35 setiap biji), 2.1 juta anak benih dan sejuta klon.

“Lima juta benih ini adalah untuk FGV Group manakala bakinya adalah untuk kegunaan tempatan dan global.

“Pasaran domestik masih menguasai lebih 90 peratus daripada jualan benih FGV dan selebihnya dieksport ke pelbagai negara, termasuk Filipina, Thailand, Afrika dan Indonesia,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain