Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, kerjasama itu meliputi peluang pembangunan, sokongan dan penyelidikan serta program pendidikan dan latihan industri kepada para pelajar dalam jurusan yang berkaitan dengan pengurusan restoran.

Menurut beliau, penawaran latihan industri kepada pelajar berasaskan pembelajaran di tempat kerja.

“Kedua-dua belah pihak juga akan berkongsi sumber dan kepakaran dalam bidang tertentu serta memberi peluang kepada pekerja di restoran milik QSR Brands yang kompeten dan terlatih untuk mem­peroleh pengiktirafan profesional khusus.

“Pengiktirafan tersebut pen­ting bagi memberi nilai tambah kepada pembangunan kerjaya mereka di industri ini,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Widad Business Group, Datuk Mohd. Rizal Mohd. Jaafar dan Pro Canselor Kolej Universiti Widad, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Mohamed Azahari yang mewakili QSR Brands sementara Widad Education diwakili Mohd. Rizal dengan disaksikan oleh ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor Kolej Universiti Widad, wakil Widad Education serta dekan-dekan fakulti.

Tambah Mohamed Azahari, kerjasama strategik tersebut me­rupakan antara inisiatif tanggungjawab korporat dalam sektor pendidikan negara.

Katanya, kerjasama itu memberi peluang kepada para pelajar untuk memperluaskan ilmu dengan pendedahan awal dalam dunia pekerjaan melalui penempatan latihan industri yang di­sediakan.

“Perjanjian ini memberi pe­luang buat QSR Brands untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam segmen perkhidmatan restoran terkemuka di Malaysia,” ujarnya.