Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, cadangan penyenaraian semula syarikat itu kini berjalan lancar dan mengikut jadual.

"Ya (akan disenarai semula) tetapi untuk selanjutnya biarlah pengerusi syarikat yang umumkan nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara QSR Stores Sdn. Bhd dan Aspen Entity Sdn.Bhd, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hartanah, HCK Properties Sdn. Bhd, Foong Peng Yew dan Ketua Pegawai Operasinya, Dr. Dennis Ling.

Mohamed Azahari berkata demikian ketika ditanya berkenaan penyenaraian semula syarikat tersebut dan akan berlaku pada separuh pertama tahun ini.

Oktober lalu, syarikat itu memfailkan draf prospektus cadangan penyenaraian semula sahamnya di Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan menawarkan 1.465 bilion saham untuk dijual dalam tawaran awam permulaan (IPO).

Ia termasuk terbitan awam 70 juta saham baharu QSR Brands.

Sementara itu pada majlis berkenaan, HCK Capital akan membina bangunan khas di Edusphere Cyberjaya sekali gus memajakkannya kepada QSR Brands untuk dijadikan restoran KFC pandu lalu.

Restoran pandu lalu KFC pertama di Cyberjaya itu dijangka akan memulakan operasi pada suku pertama 2021.

Dalam pada itu Mohamed Azahari turut memaklumkan, QSR Brands menyasarkan untuk membuka sebanyak 67 buah cawangan restoran KFC dan 60 buah cawangan restoran Pizza Hut menjelang suku pertama tahun 2021.

Sebagai rekod, QSR Brands merupakan pemegang francais rangkaian kedua-dua jenama berkenaan dengan lebih 820 buah restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja. - UTUSAN ONLINE