Pengurus Besar Kumpulan Qicheng, He Yi Feng berkata, buat masa kini pihaknya akan menumpukan kepada pasaran di Johor terutamanya dengan pembangunan pesat di Kota Iskandar.

Beliau berkata, kilang de­ngan kos sebanyak RM6 juta me­rupakan pelaburan awal sebelum berhasrat untuk me­rancang pembukaan kilang lain yang berkaitan dengan prafabrikasi pada 2020.

“Pada masa ini pengeluaran di kilang kami adalah bagi memenuhi pasaran tempatan. Namun kami juga mempunyai pe­rancangan untuk mengeksport produk kami ke pasaran ASEAN dengan menjadikan Johor Bahru sebagai hab.

“Kami memilih Malaysia ke­rana kedudukan dan peranannya yang besar di negara-negara Asia Tenggara. Rancangan kami adalah untuk mengukuhkan kedudukan di Malaysia,’’ jelas beliau kepada media Malaysia yang dibawa menyaksikan perasmian kilang prafabrikasi Qicheng Derui Group Limited (Qicheng) ke-33 di Ning Guangsu, Xi’an, China baru-baru ini.

Qicheng Derui (M) Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat kepada Qicheng yang merupakan satu daripada pemain utama pengeluaran bahan binaan prafabrikasi untuk pasaran China.

Yi Feng berkata, produk prafabrikasi syarikat adalah ringan, lasak dan kalis api yang boleh menjadikannya sebagai pilihan pihak pemaju kerana mampu menjimatkan kos pembinaan.

Tambahnya, kaedah konvensional seperti simen dan kayu mempunyai banyak risiko ke­rana terdedah kepada keadaan iklim yang tidak menentu terutamanya di Malaysia yang sentiasa panas dan lembab sepanjang masa.

“Produk kami ini 80 peratus menggunakan bahan tempatan kerana untuk mengimport, kos akan menjadi lebih tinggi. Jika tiada bahan tempatan, barulah kami menggunakan bahan yang diimport dari China,’’ jelas beliau.

Konsep prafabrikasi Qicheng Derui menggunakan kaedah tek­nologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) iaitu pembinaan rumah menggunakan kaedah pasang siap bermula dari lantai, dinding sehinggalah kepada bumbung dan ia mampu memberi penjimatan yang besar kepada pemaju. – UTUSAN