CHEW NE WENG
CHEW NE WENG

Presiden dan Pengarah Urusan QES, Chew Ne Weng berkata, tempoh pembangunan kesemua produk tersebut adalah 24 bulan dengan anggaran kos sebanyak RM4.85 juta.

Bagaimanapun katanya, QES tidak terlalu bergantung kepada sumbangan produk-produk berkenaan terhadap pendapatan syarikat.

“Majoriti hasil kami datangnya daripada segmen pengedaran manakala fokus terhadap pembuatan akan diberikan selepas penyenaraian syarikat. Selain itu, QES turut mengintai peluang dalam segmen pendapatan ber­ulang dengan melaksanakan perisian pengurusan perhubungan pelanggan.

“Ia bertujuan untuk memantau status peralatan pelanggan dan memperoleh hasil menerusi aktivi­ti servis. Kami juga merancang untuk menembusi segmen institusi pengajian tinggi, petrokimia dan farmaseutikal,” kata­nya pada majlis penyenaraian QES di Pasaran ACE Bursa Sekuriti di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi QES, Adnan Zainol, Pengarah Eksekutif QES, Liew Soo Keang serta Pengarah QES, Chia Gek Liang dan Hoh Chee Mun.

Mengulas lanjut, Ne Weng berkata, QES berjaya mendapatkan RM28.82 juta menerusi terbitan 151.66 juta saham baharu dengan nilai RM0.19 sesaham di Pasaran ACE Bursa Sekuriti.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM10.72 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal (capex) bagi pembeli­an peralatan demonstrasi untuk bahagian pengedaran, menambah kapasiti penge­lua­ran dan menaik taraf teknologi maklumat.

“RM7 juta digunakan untuk membayar bank, RM4.85 juta untuk pembangunan tiga produk utama, RM3.25 juta bagi ke­perluan modal kerja umum dan RM3 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ne Weng memberitahu, pihaknya berhasrat untuk disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia, namun tidak meletakkan sebarang tempoh masa ke arah itu.