Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, pihaknya sedang berunding mengenai perkara itu sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan negara ini dalam sektor automotif di rantau ini.

“Apabila BMW berjaya me­n­gembangkan operasi pengedaran­nya tiga kali ganda dalam tempoh yang singkat, ini memberi isyarat buat pelabur memilih Malaysia sebagai negara bagi mewujudkan pusat pengedaran mereka di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group di Zon Industri Bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presi­den Kanan Rantau Asia, Pasifik dan Afrika Selatan BMW Group; Hendrik Von Kuenheim; Naib Presiden Bahagian Pengurusan Logistik BMW Group, Wolfgang Baumann; Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Han Sang Yun dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari.

Pembukaan pusat pengeda­ran tersebut yang melibatkan pelaburan lebih RM130 juta, me­rupakan kemudahan BMW paling besar seumpamanya di rantau Asia Pasifik.

Pusat pengedaran itu menyo­kong lebih 23 buah negara di rantau ini sebagai gudang logistik serta pusat pengedaran alat ganti untuk alat ganti selepas jualan, komponen dan barangan gaya hidup bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.

Sementara itu, Sang Yun yang juga Ketua Pegawai Operasi BMW Group Malaysia berkata, pusat pengedaran dan gudang logistik seluas 71,999.85 meter persegi itu bagi menyokong keperluan dan permintaan alat ganti kenderaan tersebut dari 23 negara di Asia Pasifik.

“Pusat pengedaran ini akan membekalkan barangan ke pasaran utama seperti Malaysia, Singapura dan Thailand selain Korea Selatan, Australia, New Zealand, Indonesia dan Vietnam yang juga menyediakan 120 peluang pekerjaan,” katanya.

Jelasnya, pusat tersebut dibangunkan menerusi dua fasa sejak Disember 2016 dan fasa keduanya dijangkakan siap pada akhir 2018 kini menempatkan kira-kira 400,000 alat ganti dan aksesori bagi kenderaan tersebut.

“Menilai kembali operasi kami selama 14 tahun di Malaysia, BMW Group Malaysia bukan sahaja mengukuhkan posisinya selaku peneraju dalam menyediakan mobiliti mapan, malah sebagai organisasi yang menunjukkan pertumbuhan dalam semua aspek. Prestasi kami terbukti menerusi peningkatan jualan 16 peratus tahun lalu,” katanya.