Ketua Eksekutif Prudential Corporation Asia, Nic Nicandrou berkata, rancangan menekankan peranan utama di Asia sebagai pemacu keuntungan bagi syarikat berkenaan adalah seiring dengan usaha kumpulan ke arah membahagikan operasi kepada dua segmen.

Katanya, jualan yang lebih tinggi di China, Hong Kong, India dan Malaysia mendorong Prudential ke arah matlamat untuk menggandakan saiz perniagaan Asia dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

“Kami memfokuskan kepada pasaran Asia dalam masa sama mahu memperkasakan segmen pengagihan, kami sedang mencari rakan kerjasama yang betul.

“Prudential juga berminat untuk mengambil alih syarikat insurans lain di rantau ini tetapi tidak banyak penjual dalam pasaran,” katanya di sini hari ini.

Selain memperluaskan jumlah ejen untuk mengedarkan produk, syarikat insurans di Asia berlumba-lumba untuk bekerjasama dengan bank bagi memanfaatkan rangkaian cawangan pemberi pinjaman dan platform digital.

Prudential dan sekurang-kurangnya empat syarikat insurans lain telah membida kepentingan majoriti di dalam Commonwealth Bank of Austra­lia (CBA.AX), menurut sumber.

Prudential walau bagaimanapun enggan memberi maklum balas terhadap proses itu.

Prudential dalam proses mengasingkan M&G Prudential, insurans hayat dan pengurusan aset perniagaan United Kingdom dan Eropah ke dalam perniagaan berasingan dengan senarai London.

Perniagaan Prudential akan memberi tumpuan kepada Asia dan Amerika Syarikat. – REUTERS