Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Nor Azman Zainal menunjukkan sebahagian
NOR AZMAN ZAINAL menunjukkan
sebahagian daripada anugerah yang
dimenangi oleh PruBSN di peringkat
tempatan dan antarabangsa di Kuala
Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Nor Azman Zainal berkata, PruBSN telah dianugerahkan Syarikat Takaful Terbaik di Asia pada majlis Anugerah Takaful Antarabangsa di London baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya turut memenangi anugerah Editor’s Triple Star, Syarikat Insurans Terbaik 2018 dan Institusi Takaful Terbaik pada majlis The Asset’s Triple A Institutional Investor & Insurance Awards di Hong Kong serta Triple A Islamic Finance Awards di Malaysia.

“Kunci utama kejayaan ini adalah strategi PruBSN yang memberi fokus kepada pelanggan serta kualiti pelaksanaan dan inovasi terhadap produk. Usaha syarikat dalam memastikan setiap produk dapat diakses dengan mudah oleh pelanggan dilihat sebagai penyumbang kepada penembusan pasaran takaful dan insurans.

“Kami berbesar hati kerana usaha kami diiktiraf oleh rakan serta badan industri tempatan dan antarabangsa. Kami kekal komited untuk memperbaharui produk serta perkhidmatan melalui kaedah-kaedah baharu dan menarik bagi meningkatkan pengalaman pelanggan bersama PruBSN,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Tambah Nor Azman, PruBSN merupakan antara pengendali takaful pertama di Malaysia yang memulakan transformasi teknologi bagi menyediakan penyelesaian digital kepada para pelanggannya.

Jelasnya, antara inisiatif utama yang mendapat perhatian juri adalah kaedah pemprosesan langsung yang mana pengeluaran sijil dan perkhidmatan dijalankan sepenuhnya secara automatik dan membolehkan pelan takaful dikuatkuasakan dalam beberapa minit sahaja.

Katanya lagi, syarikat juga memperkenalkan PruBSN touch iaitu platform digital yang membantu pemegang sijil mengakses keperluan perkhidmatan mereka dengan pantas.

“Dunia digital telah banyak merubah jangkaan pengguna dan pengendali takaful dan insurans perlu lebih pantas melakukan pembaharuan dalam teknologi. Kami percaya PruBSN berada di landasan yang tepat untuk memenuhi keperluan ini agar para pelanggan dan pihak berkepen­tingan terus memperoleh manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan,” ujarnya.