Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, Saga dan Persona terus menjadi model utama apabila kedua-duanya menyum­bang seba­nyak 70 peratus daripada jumlah jualan kenderaan Proton dengan 28,368 buah Saga dan 18,113 buah Persona telah terjual.

Katanya, pertumbuhan jualan itu adalah hasil terbaik yang dapat dilihat menerusi peningkatan tahap kualiti yang dilakukan di peringkat dalaman.

“Saga dan Persona menjadi pi­lihan paling popular dalam kala­ngan pelanggan kami kerana kelebihan nilai yang sangat baik bagi ke­dua-dua model ini dengan Saga baharu menawarkan pemanduan yang hebat, lebih lancar dan mempunyai ciri-ciri kemudahan yang moden dan praktikal, sesuai bagi mereka yang ingin memiliki kereta untuk kali pertama.

“Sementara itu, Persona pula lebih fleksibel dan sesuai untuk mana-mana individu berbeza personaliti, namun yang paling penting adalah kedua-dua model ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang baik di samping memberikan pemanduan yang menyeronokkan pada setiap perjalanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, Proton sentiasa memperhebatkan proses dan usaha peningkatan kualiti melalui perkongsian penge­tahuan dan kemahiran dengan le­bih mendalam serta peluang latihan untuk pekerjanya di Kilang Geely, China sekali gus memboleh­kan Proton memiliki produk yang baik.

“Pertumbuhan mantap yang direkodkan dari Januari hingga November 2017 ini merupakan pencapaian positif untuk Proton setelah menghadapi perjalanan mencabar sejak lima tahun lalu dan kami akan bekerja le­bih keras pada masa hadapan,” ujar beliau.

Tambah Abdul Ra­shid, kemajuan positif menerusi produk Pro­ton telah terbukti se­telah kenderaan Proton diumumkan sebagai juara keseluruhan dalam perlumbaan ketahanan selama sembilan jam atau 1,000 kilometer bulan lalu.

Beliau berkata, kemenangan tersebut ju­ga te­lah membuatkan jualan model Iriz meningkat sebanyak 2.8 peratus pada bulan November 2017 berbanding Oktober.

“Kami akan terus ber­usaha untuk memperbaiki lagi kenderaan Proton dan syarikat juga berharap dapat memberikan kepuasan kepada semua pelanggan ke tahap yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Abdul Rashid turut meng­alu-alukan orang ramai untuk mengambil peluang dalam promosi Bonanza Akhir Tahun yang sedang berlangsung di Proton.

“Dapatkan tawaran hebat kos penyelenggaraan percuma sehingga lima tahun dan penjimatan sehingga RM8,000 untuk sebuah kereta Proton.

“Penyelenggaraan ini terma­suk alat ganti, minyak enjin dan kos pekerja dengan pelanggan kini boleh memiliki kereta Proton dengan hanya bayaran bulanan sebanyak RM398,” ujarnya.