Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, tahun 2019 akan memperlihatkan perubahan besar pada pasaran automotif Mesir dengan pe­ngurangan cukai import untuk kereta Eropah secara beransur-ansur yang akan membawa kepada harga yang lebih rendah dan pengguna akan memilih untuk membeli kereta-kereta berkenaan.

Walau bagaimanapun jelas syarikat itu, strategi yang dirancang memerlukan pengambilan beberapa langkah penting termasuk kajian kebolehlaksanaan untuk memastikannya menjadi pelaburan ekonomi munasabah oleh semua pihak yang terlibat.

“Dengan mewujudkan operasi CKD, ia bermakna Proton akan dapat memanfaatkan insentif pemasangan tempatan dan Mesir boleh digunakan sebagai hab serantau untuk menghasilkan kereta-kereta yang akan dijual di rantau Timur Tengah Afrika Utara (MENA),” jelas beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Proton memperkenalkan model-model baharu ke pasaran Mesir di sekitar piramid di Kaherah iaitu di cawangan 4S baharu di Smart Village, Abbou Rawash, Giza yang telah ditambah baik.

Seperti yang dijanjikan semasa majlis pelepasan di Tanjung Malim pada September lalu, sejumlah 246 buah kereta Proton terdiri daripada pemanduan sebelah kiri Proton Saga dan Proton Exora tiba de­ngan selamat di pelabuhan Mesir bulan lepas.

Pengedaran kereta-kereta tersebut akan diuruskan oleh pengimport tunggal kereta Proton di Mesir iaitu Alpha Ezz Elarab yang akan melakukan penghantaran ke tujuh pusat cawangan dan pengedar yang akan menjualnya ke pasaran negara itu.

Pengimport menyasarkan jualan sebanyak 1,400 buah bagi 2019, yang juga merupakan sasaran yang mampu dicapai yang mana Saga dan Exora Plus baharu akan mula dijual pada pertengahan tahun depan.

Sementara itu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, Mesir berpotensi memainkan peranan besar dalam membantu Proton mencapai sasaran jualan masa hadapannya dengan meningkatkan jumlah jualan eksport.

“Syarikat dan pengimport di Mesir perlu bekerjasama dengan lebih rapat untuk memastikan keperluan pasaran dapat dipenuhi apabila produk diperkenalkan berserta harga yang sesuai untuk pembeli di sini.

“Sekiranya kami mampu melakukannya dan dapat menyerahkan kereta tepat pada masanya, maka kami boleh berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik Alpha Ezz Elarab, Hisham Ezz Elarab berkata, beliau bersama pasukannya akan bekerja keras untuk memperkukuhkan semu­la jenama Proton berikutan perubahan dinamik yang berlaku kepada jenama itu di Malaysia.