Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, Perdana serba baharu yang telah dilancarkan secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu telah menerima pengiktirafan tersebut berdasarkan reka bentuk terbaik bagi produk lengkap yang dibangunkan dan dikeluarkan oleh tenaga tempatan.

Katanya, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan Proton dalam mereka bentuk dan menghasilkan kereta mampu milik serta berdaya saing bagi keselesaan pengguna.

“Kami sangat teruja dengan pengiktirafan daripada MDC kepada model Perdana yang merupakan penghargaan kepada usaha berterusan dalam pembangunan kereta tersebut.

“Anugerah ini tentunya me­nyuntik semangat kepada Proton untuk bekerja lebih keras dalam menyediakan kereta dengan rekaan dan kejuruteraan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anugerah tersebut dimenangi Perdana untuk kategori Kawasan Umum dan Kendera­an yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam.