“Kami mengiktiraf bahawa Proton dan rangkaian pengedarnya telah lama bersama-sama. Oleh itu, Proton mengulangi bahawa hasratnya adalah untuk sama-sama berkembang, bukan membebankan pengedar.

“Perjalanan ini adalah jauh, ia adalah sesuatu yang mesti untuk Proton, pengedar dan rakan perniagaan yang pertama-tamanya hendaklah menarik minat dan memberi perkhidmatan kepada pasaran sebaik yang mungkin.

“Melangkah ke hadapan, model perniagaan Proton harus fokus terhadap keperluan pasaran yang berdaya kekal dalam jangka masa panjang,’’ kata Proton.

Kenyataan Proton ini adalah sebagai reaksi kepada rungutan pengedar dalam wawancara bersama Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Rahman bertajuk Pengedar Bumiputera Proton Tertekan dalam Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Dalam wawancara itu, Zainuddin menyuarakan sungutan dan aduan pengedar Proton Bumiputera yang berasa ditekan sejak pengurusan baharu syarikat itu bermula pada November 2017.

Namun, dalam ke­nya­taan Proton kira-kira tiga halaman itu, tidak langsung menyentuh mengenai persoalan ‘Bumiputera’ seperti yang dibangkitkan oleh Zainuddin.

Proton bagaimanapun, me­nga­kui dana yang besar diperlukan untuk para pengedar menukar pusat jualan 1S mereka kepada 3S/4S seperti disebut oleh Zainuddin.

“Kami telah memperkenalkan skim khas yang menawarkan sokongan awal bagi membantu pengedar menaik taraf kepada pusat jualan serba baharu. Selain itu, mereka juga akan menikmati margin tambahan ke atas kereta yang dijual sehingga tiga tahun,’’ kata Proton.

Menurut Proton, sehingga kini 70 peratus pengedarnya di seluruh negara bersifat 1S dan ini telah menjejaskan imej Proton dari segi Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI).

“Pengedar digalakkan menaik taraf pusat jualan mereka dalam tempoh antara 2018-2020. Sasaran 2018 ialah untuk meningkatkan dengan banyak pusat 3S di seluruh negara, seiring dengan pengenalan model baharu SUV Proton pada akhir tahun ini,’’ ujarnya.

Perkara lain yang dijawab oleh Proton ialah:

  • Margin : Sebelum ini pengedar Proton menikmati margin 4 peratus berdasarkan jualan 40 kereta sebulan bagi melayakkan mereka menerima insentif jualan. Skim itu kini diubah suai dengan menurunkan penanda aras bagi menggalakkan pertumbuhan ke­seluruhan perniagaan pengedar. Proton juga menyediakan insentif suku tahunan sepanjang tahun, di mana pengedar boleh menikmati hasil tambahan jika melepasi sasaran jualan. Proton juga menyediakan sokongan insentif bagi kegiatan pemasaran oleh pengedar.
  • Sistem Pembayaran Selepas Pendaftaran (PAR) yang tiada diamalkan oleh syarikat lain di negara ini tetapi hanya Proton, tidak lagi dilanjutkan bagi meringankan kedudukan kewangan syarikat yang ketat. Pada masa ini, Proton membiayai RM650 juta setahun bagi pengedarnya.
  • Amalan industri iaitu syarikat automotif menuntut bayaran tunai sebelum penghantaran kereta atau menyediakan terma kredit sehingga 14 hari, telah dilanjutkan kepada 60 hari dengan terma dan syarat.
  • Bagi menggalakkan penjualan corporate fleet, Proton memanjangkan pakej khas kepada pelanggan korporat, persatuan, pertubuhan dan institusi, dengan syarat dan terma tertentu. Pengedar digalakkan fokus kepada penjualan runcit kerana jualan corporat fleet hanya mewakili 5 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan kereta Proton tahun lalu.
  • SUV baharu (Geely Boyue) akan dilancarkan akhir tahun ini, akan diletakkan sebagai penanda aras teknologi bagi Proton dan model premium. Oleh itu, pengalaman jualan dan servis akan diuruskan bagi melangkaui jangkaan pe­langgan. Maka itu, pusat 3S/4S akan menguruskan jualan SUV secara eksklusif.

Namun, pusat 1S masih dibenarkan menjual SUV itu menerusi pusat 3S/4S berdekatan. Paling utama, semua pengedar berpe­luang menjual model baharu selagi mereka memenuhi keperluan yang ditetapkan.

Proton Holdings Berhad dimiliki 50.1 peratus oleh DRB-Hicom dan 49.9 peratus oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. Suntikan ekuiti itu menyaksikan syarikat baharu ditubuhkan iaitu Proton Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) yang kini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr. Li Chunrong dan timbalan CEO, Datuk Radzaif Mohamed.