Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pengiktirafan itu adalah sejajar dengan seruan kerajaan dalam mentransformasikan sistem pendidikan terutama latihan teknikal dan vokasional untuk menghasilkan lebih ramai pekerja berkemahiran.

“Sebagai pengeluar kereta nasional, tugas kami bukan semata-mata menghasilkan kereta, tetapi juga sebagai tunggak kepada pembangunan negara melalui pertukaran teknologi bersama rakan kongsi strategik yang akan menjadi pemangkin pembelajaran para pekerja.

“Menerusi pelbagai usaha ini, pekerja akan menjadi bernilai kepada syarikat dan komuniti dalam industri. Bagi Proton, ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada pekerja dengan menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas maj­lis Graduasi Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), serta majlis pelancaran Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Agung Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mohd. Sahar Darusman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Nidzam Kamarulzaman.

Ahmad Fuaad berkata, hasil daripada latihan yang dijalankan, Proton telah melihat kesan-kesan positif pada kakitangannya berdasarkan prestasi dan kualiti kerja yang cemerlang sekali gus meningkatkan imej, produk dan kualiti perkhidmatan syarikat.

Pada acara itu, Proton turut menyumbangkan enjin 1.6L Turbo kepada Akedemi Saga (AS), serta akan menyediakan tempat latihan praktikal, pembangunan berkala kurikulum, modul sukatan pelajaran dan teknologi automotif mengikut piawaian industri.

Sementara itu, Richard Riot dalam ucapannya menjelaskan, usaha Proton tersebut adalah selaras dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada 35 peratus menjelang tahun 2020 berbanding hanya 28 peratus ketika ini.