Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, CA yang ditandatangani pada 19 Ogos lalu menyediakan beberapa penambahbaikan bagi pekerja antaranya pelarasan pe­rintah gaji minimum baharu, insu­rans kemalangan diri, sepanjang hayat, insurans perubatan dan faedah kematian.

Menurut beliau, selain melak­sanakan segala usaha untuk pemulihan syarikat bagi mencapai keuntungan, Proton sentiasa mengutamakan kebajikan dan faedah-faedah pekerjanya.

“Syarikat memahami bahawa untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam sesuatu perniagaan, kami perlu mendalami pekerja agar mereka dapat berkhidmat dengan baik kepada pelanggan.

“Kejayaan kebiasaannya diu­kur melalui kerjasama antara pasukan, memanfaatkan kelebi­han dan kepakaran masing-masing untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dan lebih baik untuk syarikat.” katanya dalam kenya­taan di sini.

Perjanjian itu ditandatangani dan diputuskan pada 19 Ogos lalu di antara Ahmad Fuaad dan Pre­siden Kesatuan, Mohd. Azmi Abu Bakar yang mewakili kakitangan Kesatuan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) dan Presiden Kesatuan yang mewakili pekerja kesatuan Proton Tanjung Malim Sdn. Bhd. (PTMSB), Ferdaus Mohni.

Majlis itu telah disaksikan oleh Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Fong Khei Por.

Tambah Ahmad Fuaad, dengan semangat ‘Pemikiran Satu Syarikat’ dan ‘Pengurusan Kesatuan yang Saling Bermuafakat’ perjanjian yang telah diperbaharui itu menandakan kerjasama baik dan persefahaman antara kedua-dua belah pihak.

Perjanjian tersebut merupakan kali ke-10 bagi PONSB dan keempat buat PTMSB.