ABDUL RASHID MUSA
ABDUL RASHID MUSA

Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Abdul Rashid Musa berkata, pemeriksaan audit kualiti yang ketat terhadap kenderaan Proton dalam tempoh dua bulan secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti hingga tiga kali ganda.

Katanya, audit yang dilakukan itu menggunakan sistem yang teliti setanding piawaian antarabangsa bagi kereta-kereta Volvo seperti yang diguna pakai Geely.

“Sehubungan itu, kami melihat tahun ini dengan lebih positif dan berharap dapat meningkatkan usaha untuk menjadi lebih baik pada 2018. Tahun ini merupakan tahun kritikal buat Proton memandangkan kami akan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sejajar dengan Rancangan Perniagaan tiga hingga 10 tahun yang baharu.

“Ini akan menjadi kunci kepada pemulihan syarikat. Demi meningkatkan jumlah jualan, kami akan mengambil langkah-langkah yang perlu melalui kempen yang lebih menarik untuk pengguna dan peningkatan kualiti dari segi produk dan perkhid­matan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 2016, Proton mencatat jumlah jualan sebanyak 72,291 buah. Jualan runcit meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada 68,184 buah pada tahun lalu berbanding 66,513 buah pada 2016.

Pertumbuhan yang baik dapat dilihat dari kawasan Pusat, Selatan, Pantai Timur dan Timur Malaysia dengan masing-masing mencatatkan peningkatan di antara satu hingga 10 peratus unit yang dijual.

Jumlah keseluruhan walau bagaimanapun terjejas oleh jualan flit yang kurang memberangsangkan dengan jualan 2,807 buah pada 2017 akibat permintaan teksi yang rendah.

Saga, Persona dan Ertiga mewakili 80 peratus daripada jumlah jualan kereta Proton bagi 2017 manakala kereta terlaris Proton iaitu Saga mencatat jualan yang kukuh melebihi 30,000 unit pada 2017.

Sebagai sedan yang paling mampu milik, Saga masih dilihat sebagai kereta yang memberikan nilai hebat bagi segmennya dan mengekalkan popularitinya dalam kalangan pembeli pertama atau pembeli kereta kedua Proton.

Namun, Persona mencatatkan kenaikan 27 peratus dengan 19,510 unit dijual berbanding 15,390 unit pada tahun lalu. Ertiga turut mendapat penerimaan yang baik di pasaran dengan jualan sebanyak 6,091 buah pada 2017.

Menurut Abdul Rashid, bagi promosi Tahun Baharu Cina, Proton akan memberi ganjaran kepada pelanggannya melalui diskaun hebat untuk semua model Proton, penjimatan sehingga RM3,500 untuk Saga, RM4,500 (Persona), RM5,000 (Iriz), RM5,500 (Exora) dan RM13,888 (Perdana) dengan promosi sah sehingga 31 Januari 2018.

“Sempena dengan musim perayaan dan berdepan dengan perjalanan yang jauh yang bakal ditempuhi pelanggan kami pada musim cuti ini, pemilik Proton dijemput untuk melakukan pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma di mana-mana pusat servis Proton yang diiktiraf,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Proton menjelaskan, syarikat itu tidak mengiktiraf transaksi atau tawaran penggunaan Bitcoin untuk pembelian kereta Proton dan gambar yang tular di media sosial yang dimulakan secara bebas oleh sebuah pusat jualan Proton.

“Malah, operasi oleh pusat jualan tersebut telah digantung sementara siasatan lanjut dilakukan,” katanya.