Ketua Jurutera Proton, Yang Jun berkata, rancangan untuk memperkenalkan model yang dilengkapi dengan enjin yang lebih kecil merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang.

“Ia dalam masa terdekat. Tidak lama lagi,” katanya dalam Pertunjukkan Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2018) di sini hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan akan memberi subsidi bersasar kepada pemilik kenderaan yang memiliki kapasiti enjin 1,500 cc dan ke bawah sahaja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, pihaknya akan melancarkan secara rasmi kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama, X70 pada 12 Disember ini.

Menurut beliau, orang ramai berpeluang untuk melihat X70 lebih awal di KLIMS 2018 yang diadakan mulai esok sehingga 2 Disember depan.

“Walaupun rekaan X70 dan pelbagai ciri yang terdapat pada jentera itu telah diuar-uarkan kepada umum melalui media massa, tetapi ia hanya melibatkan acara tertutup yang dihadiri oleh tetamu jemputan sahaja.

“Proton akan mempamerkan lima buah X70 dan para pe­ngunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman menggunakan teknologi dan ciri-ciri baharu pada model terbaharu itu.

“Selain itu, model half-cut turut dipamerkan bagi menunjukkan bahagian-bahagian kritikal badan kereta yang telah diperkukuh bagi menjadikannya selamat jika berlaku kemalangan,” jelasnya.

Tambah Abdul Rashid, para pengunjung juga dapat mencuba sendiri sistem bantuan pemandu termaju dengan menggunakan teknologi Realiti Maya (VR).

Proton X70 didatangkan de­ngan empat varian iaitu Stan­dard 4WD, Executive 2WD, Executive 4WD dan Premium 2WD dan lima pilihan warna seperti putih, perak, kelabu, coklat dan merah.