Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Faiz Mansor berkata, pembukaan pusat servis yang baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan berdasarkan jumlahnya kian meningkat sejak mula ditubuhkan pada tahun 2016.

"Jumlah pelaburan tersebut membabitkan pembelian lot kedai baharu, penambahbaikan mesin dan kelengkapan alat ganti.

"Pembukaan pusat servis baharu ini dijangka mendapat sambutan kerana kedudukannya agak strategik iaitu berhampiran dengan Plaza Tol Pendang," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 70 peratus pelanggan sebelum ini terdiri daripada penduduk di sekitar kawasan Pendang dan 30 peratus lagi dari Alor Setar, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Perlis.

"Pada tahun lepas, syarikatnya mencatat perolehan sebanyak RM1.5 juta dan jumlah itu dijangka meningkat lebih tinggi sehingga mencecah lebih RM2 juta," jelasnya.

Dalam pada itu, Faiz menambah, dalam usaha mengembangkan perniagaan tersebut yang dikenali sebagai FZ Double N Enterprise sebelum ini, beliau turut mendapat bantuan dana dan pinjaman daripada beberapa agensi kerajaan.

"Antara agensi yang menyalurkan dana dan pinjaman tersebut ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK), SME Bank dan SME Corp.," katanya.

Beliau berkata, syarikatnya turut bekerjasama dengan beberapa syarikat pembekal perkhidmatan sama sebagai mekanisma menguatkan jaringan perniagaan bumiputera.

"Saya juga menjalinkan kerjasama dengan pelopor pusat servis tayar dan kereta bumiputera yang berpengalaman, Prowheels (M) Sdn. Bhd. (Prowheels) menggunakan konsep mentor-mentee untuk belajar selok belok perniagaan selain berkongsi pendapat dan pandangan," katanya.

Selain itu, kata beliau, bagi memberi keselesaan, Proriders turut menyediakan menyediakan kemudahan seperti ruang rehat berhawa dingin, makanan serta minuman percuma dan ruang solat yang selesa kepada pelanggan di premisnya itu.

"Kami akan memberikan perkhidmatan terbaik oleh itu jaminan kualiti dan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan kami," katanya. - UTUSAN ONLINE