Ketua Pegawai Eksekutif Pro­pertyGuru Group, Hari V. Krishnan berkata, pusingan pembiayaan tersebut memberikan dorongan penting bagi kedudukan Pro­per­­tyGuru sebagai syarikat teknologi hartanah dengan pertumbuhan tinggi di rantau ini.

Katanya, Kumpulan akan terus menjana pelaburan dalam teknologi dan membawa penyelesaian yang memberi manfaat kepada pencari rumah, ejen hartanah dan pemaju hartanah.

“Pusingan pelaburan kali ini melonjakkan lagi kepemimpinan PropertyGuru di rantau Asia Tenggara selepas penggabungan penuh dengan portal hartanah terkemuka Vietnam, Batdongsan.com.vn ke dalam Kumpulan.

“Penggabungan ini mengukuhkan lagi ko­mitmen Kumpulan di Vietnam dan kerjasama dengan Batdongsan.com.vn yang telah bermula pada 2016,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PropertyGuru adalah peneraju teknologi hartanah merentasi lima pasaran di rantau ini dengan portalnya: PropertyGuru di Singapore dan Malaysia, DDproperty.com di Thailand, Rumah.com di Indonesia dan Batdongsan.com.vn di Vietnam.

PropertyGuru juga menguasai 55 peratus pasaran di Asia Tenggara sekaligus mencerminkannya sebagai pilihan utama penggemar hartanah melalui portal milik PropertyGuru.

Sementara itu, Ahli dan Ketua Bahagian Asia Tenggara KKR, Ashish Shastry berkata, pelaburan KKR dalam PropertyGuru dibiayai oleh Dana Asia KKR III dan ia adalah sebahagian daripada strategi firma tersebut untuk melabur dalam pasaran dengan pertumbuhan tinggi yang diyakini dapat meraih manfaat daripada peningkatan pesat dalam penggunaan teknologi.

“Kami sangat teruja untuk melabur dalam PropertyGuru, satu daripada perniagaan bisnes berpaksikan teknologi yang pa­ling menarik di Asia Tenggara. Kami berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk membantu membawa mereka ke pe­ringkat seterusnya,” katanya.