Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman berkata, menerusi GSR para pegawai yang telah menerima persijilan berkaitan akan membuat semakan pematuhan tanpa menunggu pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, projek-projek terbaharu TNB perlu melepasi keperluan piawaian ketat antarabangsa de­ngan pemilihan atau penggunaan teknologi yang terbaik dalam industri.

“Contohnya, stesen kitar padu Jana Elektrik Prai mempunyai kecekapan sebanyak 60 peratus berbanding 50 peratus stesen konvensional.

“Loji janakuasa arang batu Manjung 5 yang menggunakan teknologi Ultra-Super critical mempunyai kecekapan 40 peratus berbanding 34 hingga 36 peratus loji janakuasa biasa sekali gus mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Roslan memberitahu, TNB telah menanda­ta­ngani memorandum persefahaman (MoU) dengan JAS dan menjadi rakan strategik ke-367 Program Kesedaran Alam Sekitar.

Menurut beliau, MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim yang mewakili Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar de­ngan disaksikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri.

Katanya lagi, MoU berkenaan berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun dan menjadi pemangkin kepada pemuliharaan, pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

“Usaha ini bertepatan dan selari dengan slogan TNB iaitu Better Environment, Brighter Future.

“Sebagai rakan strategik TNB dan JAS akan melaksanakan aktiviti promosi, publisiti dan khidmat nasihat bagi menjayakan program kesedaran alam sekitar,” ujarnya.