Ini berdasarkan kepada beberapa fasiliti yang sudahpun memulakan operasi lebih awal iaitu Regasification Terminal 2 (RGT2) dan Projek Bekalan Air Mentah (Pamer). RGT2 memulakan operasi komersial pada Oktober 2017 manakala Pamer pula pada 18 Julai 2016.

Ketua Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Bahagian Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sdn. Bhd., Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, tahun 2018 akan memberi cabaran besar kepada Petronas bagi memastikan semua utiliti yang ada dapat berjalan seperti dirancangkan sebelum operasi bermula.

“Ini penting bagi memastikan kilang penapisan minyak dan perekah wap (steam cracker) boleh beroperasi. Apatah lagi kita menyasarkan untuk mengalirkan minyak mentah pertama pada 21 Oktober ini,” katanya dalam sidang media pembentangan kemajuan projek tersebut minggu lalu.

Loji perekah wap dan kompleks petrokimia setakat akhir tahun lalu mencapai kemajuan pembinaan masing-masing pada 91 peratus dan 69 peratus.

Fasiliti lain yang turut ada di PIC terma­suklah Unit Pengasingan Udara (ASU) dan Terminal Air Dalam Pengerang (PDT).

Setakat Disember 2017, PIC mencapai kemajuan 84 peratus dan Petronas menyasarkan dapat mencapai 98 peratus menjelang hujung tahun ini sebelum ia memulakan operasi.

Apabila siap projek berkenaan, PIC akan menjadi satu-satunya loji perekah wap dan penapisan bersepadu di Malaysia dan dijangka berada pada kedudukan keempat fasiliti terbesar di Asia Tenggara.

Mengenai Loji Kojana Pengerang (PCP), Anita Azrina menjelaskan, fasiliti itu dengan jana kuasa 1,220 megawatt (MW) mula beroperasi pada Oktober 2017 dengan 400MW dijual kepada grid nasional.

“Ketika ini, kami menghasilkan lebih 900 MW dan kami merancang untuk meningkatkan jumlah itu kepada grid nasional dengan lebih 600MW,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kesihatan, Keselamatan, Kawalan dan Persekitaran (HSSE) PRPC, Saifudin Shah Sowkkatali turut berkongsi cabaran dalam memastikan HSSE yang cemerlang di tapak pembinaan, yang turut menyumbang kepada operasi PIC mengikut jadual.

Katanya, perkara paling mencabar baginya ialah memastikan keharmonian dalam kalangan pekerja seramai 63,000 orang daripada 65 buah negara dapat dikekalkan termasuk dari segi bahasa dan budaya.

“Ini adalah tapak projek yang besar dengan keluasan 2,526 hektar. Kita mempunyai pekerja berkemahiran yang terbatas. Selain itu, jumlah kontraktor yang terlibat juga amat besar dengan kebanyakannya bukan berlatar­belakangkan industri minyak dan gas.

“Sudah tentu ini memerlukan penyatuan, perhubungan dan koordinasi yang rumit antara pelbagai komponen projek utama dan projek sokongan dalam memastikan projek ini berjalan dengan lancar,” katanya.