Presidennya, Foo Chek Lee berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan Jumaat lalu memperlihatkan prospek kemasukan pelbagai projek dengan nilai semasa RM138 bilion pada tahun ini.

“Melihat peningkatan industri pembinaan yang memberangsangkan, MBAM menganggarkan sekurang-kurangkan sejumlah projek yang bernilai RM350 bi­lion akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Bangunan dan Pembinaan MBAM di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Eversendai Corporation, Tan Sri A. K. Nathan.

Chek Lee juga berkata, industri pembinaan bakal mengalami pertumbuhan sekurang-kurangnya 7.5 peratus pada tahun depan.

Katanya, projek seperti landasan kereta api, perumahan, lebuh raya, infrastruktur yang bernilai RM210 bilion dirangka menerusi Bajet 2018.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, cukai 20 peratus yang dikenakan bagi jentera pembinaan membabitkan projek Sistem Binaan Berindustri (IBS) perlu dikaji semula bagi membolehkan lebih banyak syarikat kecil membeli jentera baharu jika kerajaan mahu menggalakkan penggunaan jentera dan automasi dalam pendekatan pembinaan IBS.

Langkah itu katanya, akan menggalakkan penggunaan jentera pembinaan daripada terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing selain mendorong IBS untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

“Sekarang ini banyak syarikat lebih suka membeli mesin-mesin terpakai kerana ia lebih murah, tetapi kecekapan dan produktivitinya lebih rendah berbanding dengan yang baharu,” katanya.

Chek Lee berkata, kos penubuhan sebuah kilang IBS dan perolehan acuan adalah sangat mahal dan ini menyebabkan industri itu didominasikan oleh syarikat-syarikat besar.