Ketua Pegawai Eksekutif M+S Pte. Ltd. (M+S), Kemmy Tan berkata, sebanyak 88 peratus unit kediaman projek Marina One yang ditawarkan kepada pembeli telah terjual.

“Jualan unit kediaman bagi projek DUO juga cukup memberangsangkan dengan 95 peratus daripada 660 unit telah terjual.

“Sebanyak 70 peratus pembeli unit kediaman DUO ialah rakyat Singapura, 14 peratus Malaysia dan selebihnya dari negara lain termasuk China dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan ketika sesi taklimat projek kepada wartawan Malaysia di sini baru-baru ini.

M+S ialah syarikat yang dimiliki pegangannya mengikut nisbah 60:40 oleh Khazanah Nasional Bhd. dan Temasek Holdings Pte. Ltd.

Syarikat itu ditubuhkan ekoran persetujuan Butiran Perjanjian (POA) yang ditandatangani pada 2010 oleh kedua-dua negara yang melibatkan pertukaran tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands dan Bukit Timah de­ngan enam lot tanah lain untuk pembangunan dua projek berke­naan.

Projek Marina One yang terletak di Pusat Perniagaan Utama (CBD) di Marina Bay dan DUO di Bugis melibatkan pembinaan bangunan pejabat, kedai dan kediaman.

Marina One yang direka bentuk arkitek Jerman, Christoph Ingenhoven akan dihubungkan dengan empat stesen transit aliran massa (MRT) dan laluan bawah tanah ke bangunan sekitarnya manakala DUO oleh arkitek dari negara sama, Ole Scheeren.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya yakin syarikat antarabangsa akan memberi sambutan terhadap unit-unit pejabat berstatus gred A dengan ruang lebih luas yang ditawarkan kedua-dua projek. – UTUSAN

Katanya, projek DUO juga akan melibatkan pembinaan hotel lima bintang, Andaz Singapore yang mempunyai 342 bilik. - UTUSAN