Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim ber­kata, projek berkenaan akan dibangunkan dalam tiga fasa dengan fasa pertama dijangka siap menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, sistem yang akan mengguna pakai model daripada beberapa negara, antaranya seperti dilaksanakan di Brisbane, Australia diyakini dapat menarik lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

“Setakat ini kita mempunyai hasrat untuk memastikan bahawa BRT itu akan memulakan operasi menjelang tahun 2020 dengan fasa pertama merupakan tempoh yang paling penting kerana melibatkan jajaran utama.

“Kita berharap pada awal tahun 2017, kita akan berupaya memulakan projek itu sekali gus menentukan aliran pembinaan BRT akan dijalankan,” katanya ditemui pada majlis perjumpaan dengan Ketua Biro dan wakil Media, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga sudah memberikan mandat kepada IRDA untuk meneruskan usaha bagi pelaksanaan sistem BRT yang bakal merangkumi 90 peratus daripada keseluruhan keluasan Iskandar Malaysia apabila siap kelak.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pembinaan infrastruktur sistem tersebut melibatkan pelaburan daripada kerajaan, namun pada masa sama turut membuka peluang kepada pihak swasta yang berminat membuat pelaburan.

“Dalam melaksanakan sistem BRT itu, pihak swasta akan dilibatkan dalam pelaksanaan operasinya dan kita mengalu-alukan pihak-pihak yang berminat untuk bersama-sama menyertai pelaksanaannya,” katanya.

Ditanya sama ada sudah ada pihak berminat yang membuat permohonan, Ismail berkata, buat masa ini IRDA belum menerima sebarang pertanyaan kerana penawaran seumpama itu akan memerlukan sedikit masa.

Berdasarkan kajian, kos pembangunan BRT dianggarkan lima hingga 10 kali ganda lebih rendah daripada projek landasan transit aliran massa (MRT) atau monorel, katanya.