Pemilik dan Pengarah Urusan bzBee, Said Bani C.M. Din berkata, sebagai syarikat Teras, bzBee terus mencapai peningkatan tahunan pada kadar purata seba­nyak 18 peratus.

Katanya, syarikat tersebut te­lah dipilih sebagai syarikat Teras pada 2012 dan ia menerima banyak manfaat yang sekali gus membantu membuka lebih ba­nyak peluang dan platform bagi bzBee untuk mengembangkan perkhidmatannya.

“Sokongan tidak semestinya dalam bentuk kewangan, tetapi yang penting adalah usaha Teraju menyediakan ekosistem yang dibina, so­kongan dan nasihat daripada mereka memainkan peranan pen­ting yang telah membantu meningkatkan lagi potensi bzBee,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, bzBee terus memperluaskan perkhidmatannya dengan menawarkan perhubungan dan pemasaran bersepadu merangkumi pe­ngurusan acara, penjenamaan, per­khidmatan dalam talian, media sosial, kerja kreatif dan peng­iklanan.

Beliau berkata, bzBee juga terbabit dalam beberapa usaha lain dengan penubuhan Batique, Baybees & Todds, MyVelotas termasuk inisiatif Balairong bagi memajukan warisan kemelayuan.

“bzBee juga menyediakan perkhidmatan latihan dan nasihat kepada syarikat pemula niaga bumiputera, pelajar kolej dan universiti, kedua-duanya sebagai tanggungjawab korporat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh, berkata program Teras disasarkan bagi meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana bumiputera bagi membolehkan mereka meningkatkan, mempercepatkan pertumbuhan dan bersaing di pasaran terbuka berdasarkan merit.

“Matlamat utama supaya syarikat yang disokong oleh program ini mampu menyumbang secara positif kepada keluaran dalam negara kasar serta mengukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi,” katanya.