Sejak dilancarkan pada tahun 2012 hingga November 2017, sebanyak 189 projek daripada syarikat bumiputera telah menerima pelbagai insentif menerusi ECERDC, Dana Mudahcara atau kedua-duanya sekali.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jeba­singam Issace John (gambar) berkata, syarikat-syarikat itu telah menerima pelaburan berjumlah RM16.2 bilion yang mampu untuk mewujudkan sebanyak 19,101 peluang pekerjaan.

“Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC dengan kerjasama Teraju dan kerajaan-kerajaan negeri akan terus memacu agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera sebagai teras utama dalam dasar transformasi sosioekonomi ECER.

“Selaras dengan itu, ECERDC komited menyokong perkemba­ngan syarikat terbabit menerusi inisiatif pembangunan modal insan dan keusahawanan inklusif untuk menjadikan mereka pemangkin utama di ECER,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

ECERDC memainkan pe­ranan menggaris hala tuju untuk membangunkan ECER yang dipacu oleh lima kelompok ekonomi iaitu pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, perniagaan tani serta pembangunan modal insan dan keusahawanan.

Terdapat dua mekanisme yang menjadi nadi agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera di ECER iaitu pemilihan syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) dan pemberian Dana Mudahcara kepada syarikat yang layak.

Menurut Jebasingam, setakat ini, sebanyak 101 syarikat bumi­putera telah diiktiraf sebagai syarikat Teras di kawasan berke­naan iaitu 48 dari Terengganu, 32 dari Pahang dan 21 dari Kelantan.

“Daripada keseluruhan bilangan ini, sebanyak 48 syarikat Teras tersebut telah menerima pembiayaan Dana Teras daripada panel bank berjumlah RM117.8 juta,” katanya.

Selain itu beliau memberitahu, sejumlah RM292.7 juta Dana Mudahcara telah diluluskan kepada 135 projek bumiputera untuk menampung antara 10 hingga 15 peratus kos pembangunan projek mereka.

“Hasilnya, bantuan dana itu telah berjaya membantu merealisasikan pelaburan bumiputera berjumlah RM2.26 bilion sekali gus mewujudkan sebanyak 9,819 peluang pekerjaan untuk rakyat setempat,” ujarnya.