TNB berkata, di bawah MoU tersebut, ketiga-tiga syarikat akan me­neroka potensi projek lebuh raya hijau yang boleh dilaksanakan di sepanjang lebuh raya sepanjang 77 kilometer itu.

Katanya, projek itu dijangka memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya dan komuniti sekitarnya melalui infrastruktur dan ekosistem moden kecekapan tenaga (EE) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) serta persekitaran yang lebih hijau.

“Ketiga-tiga pihak akan bekerjasama untuk menyokong Indeks Lebuhraya Hijau Malaysia (MyGHI) di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan menggabungkan kema­panan pengangkutan dan ekologi dalam reka bentuk, perancangan, pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan Pengarah Urusan TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd. Hamid; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEB, Jamal Abd. Nasir Taharim pada Forum Pembia­yaan Hijau sempena Persi­da­ng­an dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.

Tambah kenyataan itu, pihak-pihak yang terlibat juga akan memanfaatkan penyelesaian RE dan EE TNBES dengan menyalakan cahaya diod pemancar cahaya (LED), memasang unit penyaman udara EE dan kemudahan panel solar, dan mengintegrasikan sistem pemantauan bangunan TNBES yang dikenali sebagai Membuat Elektrik Terlihat (MAEVI).