Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Prestasi Petronas dijangka lebih baik tahun ini

KUALA LUMPUR 15 Mac – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dijangka mencatat prestasi yang lebih baik tahun ini tanpa melibatkan sebarang perubahan besar dalam kitaran perbelanjaan mo­dal (capex) bagi sektor minyak dan gas (O&G).

 

Penganalisis HLIB Research, Lim Sin Kiat berkata, keadaan itu didorong oleh perkembangan sektor O&G yang semakin bertambah baik walaupun terdapat sedikit pemulihan dalam industri berkenaan.

Katanya, terdapat kemungkinan Petronas akan mengekalkan jumlah capex bagi projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) pada tahun ini sebelum Saudi Aramco mula menyuntik pelaburannya dijangka bermula seawal 2018.

“Walaupun perjanjian dengan Saudi Aramco memberi manfaat tidak langsung kepada industri huluan tempatan, tetapi ia mungkin tidak dapat direalisasikan pada tahun ini memandangkan butiran perjanjian itu belum lagi kukuh.

“Untuk itu, Petronas dilihat akan mengekalkan jumlah capex untuk RAPID pada tahun ini dengan aliran tunai yang rendah untuk capex huluan sebelum Saudi Aramco memulakan pelaburannya, kemungkinan paling awal pada tahun depan,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Februari lalu, Petronas dan Saudi Aramco menandata­nga­ni Perjanjian Pembelian Saham (SPA) bagi penyertaan ekuiti syarikat minyak Arab Saudi itu dalam projek RAPID di Pengerang, Johor.

Menerusi transaksi jual beli saham itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan pet­rokimia RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dengan sejumlah AS$7 bilion (RM31 bilion) bakal dijana menerusi kerjasama berkenaan.

Semalam, Petronas mengumumkan prestasi kewangan berakhir 31 Disember 2016 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM23.5 bilion, meningkat 12 peratus berbanding RM20.9 bilion tempoh sama tahun sebe­lumnya.

Perolehan kumpulan bagai­manapun susut 17 peratus kepada RM204.9 bilion daripada RM247.7 bilion pada 2015 di­sebabkan harga purata mi­nyak yang lebih rendah dan impak nilai jualan yang lemah.

Mengenai Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), projek itu mendahului jadual pada 54 peratus pada akhir tahun kewangan 2016 dan kemajuannya hampir 60 peratus pada Februari 2017.

Sementara itu, Penganalisis AmInvestment Bank, Alex Goh berkata, pelaburan Saudi Aramco dalam projek penapisan dan cracker di PIC itu menghidupkan semula hab minyak dan gas terbesar, RAPID yang dijangka menelan kos sebanyak AS$27 bilion (RM120.1 bilion) itu.

“Dua syarikat O&G, Dialog Group, yang terletak paling strategik di pintu masuk projek ini dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) yang terletak berhampiran limbungan fabrikasi dijang­ka memperoleh paling banyak aliran masuk kontrak baharu di kawasan tersebut.

“Selain itu, pemain O&G lain yang akan mendapat limpahan daripada projek ini ialah Barakah Offshore Petroleum dan Muhibbah Engineering,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, harga minyak mentah kekal berlegar sekitar AS$45 hingga AS$50 (RM200.18 hingga RM222.43) setong tahun ini manakala AS$50 hingga AS$55 (RM222.43 hingga RM244.67) setong pada 2018, sejajar dengan unjuran yang dibuat Petronas pada AS$45 setong tahun ini.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain