Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Mercedes-Benz, Mark Raine berkata, prestasi tersebut dipacu oleh model-model limosin daripada C-Class, E-Class dan S-Class dengan jualan sebanyak 3,663 buah.

Beliau berkata, bagi segmen kereta kompak dan model kende­raan utiliti sukan (SUV) pula, ma­sing-masing mencatatkan jualan sebanyak 739 buah dan 1,233 buah.

“Prestasi separuh pertama 2017 sangat membanggakan dan kami kekal sebagai peneraju dalam segmen jenama premium dengan penguasaan sebanyak 2.3 peratus pasaran. Kejayaan ini dicapai melalui strategi komprehensif berpusatkan pelanggan, portfolio produk yang pelbagai serta perkhidmatan servis yang terbaik.

“Sementara itu, Jun menjadi bulan terbaik apabila berjaya menjual sebanyak 1,210 buah kereta dan perkembangan positif ini mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap jenama Mercedes-Benz. Dengan momentum jualan yang baik ketika ini, kami optimis akan berjaya mencipta rekod jualan baharu tahun ini,” katanya dalam pembentangan prestasi Mercedes-Benz Malaysia bagi separuh pertama 2017 di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr. Claus Weidner; Naib Presiden Selepas Jualan Kereta Mercedes-Benz, Heinrich Schromm dan Pengarah Urusan Servis MBM, Mike Ponnaz.

Tambah Raine, walaupun terdapat penurunan volum jualan berbanding tempoh sama tahun lalu, namun ia tidak menjejaskan prestasi keseluruhan Mercedes-Benz di Malaysia.

“Terdapat sedikit penurunan jualan berbanding 6,017 buah kereta yang dicatat pada separuh pertama 2016 disebabkan pengenalan beberapa model baharu berbanding tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Weidner memberitahu, Mercedes-Benz memperkenalkan OneWeb yang berfungsi sebagai pusat sehenti yang berintegrasi dengan platform digital bagi memenuhi keperluan pelanggan sedia ada dan baharu.