Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn. Bhd., Kenny Yee Shen Pin berkata, KUB bakal kembali semula sebagai sebuah organisasi yang lebih efisien selepas melaksanakan pengukuhan ketiga-tiga segmen perniagaan berkenaan bermula tahun lalu.

Jelas beliau, pihaknya me­nge­kalkan saranan ‘beli’ terhadap saham KUB dengan harga sasaran 70 sen berbanding 49 sen ketika ini.

“Pujian seharusnya diberikan kepada kepimpinan Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan KUB, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin selepas memegang jawatan ber­kenaan pada 17 Ogos 2015 dengan melaksanakan pengukuhan ketiga-tiga segmen berkenaan.

“Perniagaan gas petroleum cecair (LPG) pula kekal menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan KUB iaitu sebanyak 65 peratus,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Perolehan sektor tenaga KUB meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM325.2 juta bagi tahun kewa­ngan 2016 manakala untung bersih kumpulan meningkat seba­nyak 159.1 peratus kepada RM24.1 juta.

Peningkatan signifikan tersebut dicapai sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kuantiti jualan LPG, pengimba­ngan semula edaran produk dan inisiatif pengurusan bagi meningkatkan margin.

Mengulas lanjut, Shen Pin berkata, projek saluran terminal besar LPG bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi pemasaran dan pengedaran perniagaan LPG di bawah jenama Solar Gas yang ketika ini mempunyai 10 peratus penguasaan pasaran.

Katanya, segmen perladangan KUB juga dijangka melonjak naik selepas pembelian tanah berkeluasan 1,534 hektar di Kinabata­ngan, Sabah ditambah dengan 9,000 hektar sedia ada di Klang, Johor dan Mukah, Sarawak yang dijangka meningkatkan pendapatan syarikat sebanyak 10 peratus bagi tahun kewangan 2018.