MADANI SAHARI
MADANI SAHARI

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata, industri automotif turut melibatkan eksport komponen dan peralatan yang mana setiap tahun menunjukkan peningkatan yang positif.

“Tahun 2016 nilai eksport bagi komponen dan peralatan automotif bernilai RM11.2 bilion dan pada tahun ini kami me­nyasarkan jumlah itu meningkat kepada RM12 bilion.

“Jumlah sebenar eksport sehingga bulan Jun lalu mencecah RM8 bilion,” ujarnya pada sidang akhbar majlis penyampaian hadiah Malaysia Autoshow 2017 di sini hari ini.

Madani berkata, acara Malaysia Autoshow 2017 yang berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 November lalu berjaya merekodkan nilai jualan mele­bihi RM700 juta.

Katanya, jumlah itu berdasarkan pengiraan awal dan telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM250 juta.

Menurutnya, prestasi positif itu dipacu oleh pelbagai aktiviti yang telah diadakan terutama sesi pandu uji yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri jentera berkenaan.

“Selain itu, pihak pengeluar kenderaan juga membuat pelbagai promosi dan memberi diskaun yang bagus sekali gus menarik lebih ramai pembeli berpotensi.

“Kami juga menjemput pelbagai bank dan syarikat insu­rans untuk membuka booth dan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat mereka seperti membuat tempahan dan membeli kereta,” katanya.

Malaysia Autoshow 2018 akan berlangsung pada April depan bagi mengelakkan pertindihan dengan pameran automotif global seperti pameran automotif Tokyo dan Frankfurt pada Oktober dan November.