Kumpulan itu merekodkan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada RM10.89 bilion, dengan margin EBITDA pada 28.8 peratus. TNB mencatat pendapatan stabil RM37.85 bilion manakala perbelanjaan operasi (OPEX) pada RM32.24 bilion.

Bagaimanapun, pres­tasi kumpulan bagi tahun ber­akhir 31 Disember 2018 dijangka kekal positif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, bagi tahun kewangan 2018, TNB mencatat pencapaian cemerlang dengan skor 8.1 bagi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI), iaitu di tempat teratas dalam industri.

“Kami sedar, untuk mening­gikan skor ini memerlukan konsisten dalam meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan. Tambahan pula, baru-baru ini, TNB menduduki tempat keempat di dunia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2019 bagi kemudahan untuk mendapatkan bekalan elektrik.

“Pengiktirafan ini diberikan de­ngan mengukur prosedur, masa dan kos yang diperlukan perniagaan untuk mendapatkan penyambungan elektrik kekal, bekalan berdaya harap dan indeks tarif yang telus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, TNB juga berjaya mencatat prestasi teknikal yang tinggi dengan 0.3 minit Sistem Minit Penghantaran, yang mengukur jumlah setara gangguan bekalan bagi sistem di Seme­nanjung.

“Bagi pembahagian pula, Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) yang me­ngukur tempoh purata gangguan bekalan dialami oleh pelanggan dalam setahun, kekal stabil pada 35.3 minit. Prestasi teknikal konsisten ini setan­ding dengan negara maju seperti Perancis dan United Kingdom,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, dalam menguruskan perniagaan, TNB sentiasa mengambil berat tentang kehidupan masyarakat sekeli­ling dan mencari jalan mensejahterakan lagi kehidupan para pelanggan.

“Dalam konteks ini, TNB berjaya menyempurnakan pemasangan lebih 21,000 lampu jalan luar bandar, iaitu hampir 90 peratus pencapaian tahunan, di bawah Projek Lampu Jalan Kampung. Kami percaya bahawa usaha ini bukan sahaja mencerahkan kawasan luar bandar, bahkan menyumbang kepada ciri-ciri keselamatan yang sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

“TNB percaya bahawa ma­sa depan yang cerah adalah masa depan yang mapan. Bagi menyokong agenda hijau kerajaan yang selaras dengan Dasar Tenaga Hijau TNB, kami komited dalam meminimumkan impak terhadap alam sekitar dengan mengamalkan operasi yang mapan dan efisien serta melaksanakan inisiatif tenaga hijau.

“Di samping itu, anak syarikat memaklumkan bahawa Ladang Solar Skala Besar 50 megawatt (mW), diusahakan oleh TNB Sepang Solar, telah mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 19 November 2018.

“Anak syarikat kami iaitu GSPARX Sdn. Bhd. pula sudah memulakan perniagaan tenaga solar fotovoltaik, untuk menyerlahkan potensi tenaga boleh baharu tempatan de­ngan menawarkan penyelesaian tenaga hijau kepada pe­langgan runcit,” katanya.