-

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Abu Hasan Ismail (gambar) berkata, syarikat itu sedang dalam usaha pengumpulan sebelum memulakan pembangunan SKIN.

“Kami mempunyai beberapa opsyen dan kami mungkin melihat kepada pengeluaran sukuk atau pinjaman berjangka langsung.

“Kami ada banyak cadangan disebabkan ia melibatkan perniagaan konsesi. Pasaran modal akan menyukainya. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi,” katanya ketika memberi taklimat mengenai perkembangan Presta­riang kepada media di sini hari ini.

Syarikat tersebut, melalui anak syarikatnya, Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSkin) telah memeterai perjanjian konsesi selama 15 tahun dengan kerajaan, yang diwakili oleh pihak Kementerian Dalam Negeri, bagi pelaksanaan SKIN.

Ia merupakan platform teknologi bersepadu bernilai RM3.5 bi­lion bagi memodenkan aplikasi utama dan infrastruktur sistem imigresen di negara ini.

Pembangunan SKIN, melalui kombinasi kepakaran dalaman serta usaha sama de­ngan­ rakan kongsi utama akan mengambil masa selama tiga tahun iaitu dari 2018 hingga 2020.

“Pembangunan, pengoperasian, penyenggaraan dan pemindahan yang dibuat di bawah konsep Perkongsian Awam-Swasta, ini dianggap tidak memberikan sebarang risiko kepada kerajaan.

“Kerajaan akan mula membayar selepas tiga tahun, iaitu selepas sistem berjalan sepenuhnya,” katanya.

Ini akan memberi kesan kepada tahun kewangan Prestariang berakhir 31 Disember 2021, dengan purata bayaran tahunan yang dianggarkan berjumlah RM294.7 juta dari tahun empat kepada tahun yang ke-15 semasa fasa operasi teknikal dan penyelenggaraan.

“SKIN dijangka menyumbang secara positif kepada masa hadapan Prestariang dengan pendapatan yang stabil dan berulang, serta menjadi pemangkin kepada syarikat untuk menceburi pasaran serantau,” kata Abu Hassan.

Ditubuhkan pada tahun 2003 dan disenaraikan di Bursa Malaysia, kumpulan itu telah berkembang menjadi peneraju latihan dan badan perakuan untuk teknologi komunikasi dan maklumat serta pengedaran dan peng­urusan lesen perisian untuk pene­raju bakat dan teknologi.

“Pelaburan dalam EduCloud, yang merupakan sebuah platform bakat untuk memperkasakan usahawan, pendidikan dan e-dagang, akan menjadi fasa baharu dalam transformasi perniagaan kami.

Pelaburan boleh diperoleh daripada pendapatan yang terakru daripada perniagaan semasa kami,” kata beliau.

Melalui EduCloud, syarikat me­rancang untuk melancarkan projek perintis pada suku keempat dengan kerjasama daripada penyedia peranti awan terkemuka seperti Ali Baba Cloud, Amazon Web dan Microsoft.

Ia juga merancang untuk beker­jasama dengan gergasi teknologi kewangan dan membentuk perkongsian strategik dengan universiti-universiti awam serta swasta, termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Secara keseluruhannya, Abu Hassan menjangkakan pertumbuhan pendapatan sebanyak 25 pera­tus, dalam tahun kewangan 2018 untuk segmen perkhidmatan dan perisian serta 100 peratus untuk latihan dan pensijilan.

Untuk operasi universiti, beliau meramalkan Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) akan mula mencatatkan titik pulang modal dalam tahun ini.

UniMY, merupakan universiti butik ICT pertama di negara ini, sekarang mempunyai 400 orang pelajar dan berharap untuk menggandakan kepada 600 orang menjelang September. – BERNAMA