Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, pihaknya bersama SIGMAC akan memberi keutamaan kepada projek pengangkutan rel di beberapa bandar utama di Arab Saudi.

“Kita akan menghantar pembidaan beberapa projek berkaitan operasi, penyelenggaraan serta khidmat perundingan pengangkutan awam rel di Arab Saudi.

“Langkah ini selaras dengan program transformasi yang dilakukan kerajaan Arab Saudi untuk mencapai objektif pembangunan negara tersebut pada 2030,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU sempena Forum Perniagaan Malaysia-Arab Saudi di sini hari ini. – BERNAMA

Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Gabenor Lembaga Perusahaan Kecil dan Sederhana Arab Saudi, Dr. Ghassan Ahmed Al-Sulaiman manakala SIGMAC diwakili Pengerusinya, Dr. Talal A. Ghazzawi.

Sementara itu Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam berkata, menerusi MoU itu Prasarana akan meneruskan kerjasama dengan SIGMAC yang telah terjalin sebelum ini untuk meneroka bidang perniagaan baharu di Arab Saudi.

“Ketika ini Prasarana dan SIGMAC bekerjasama menyediakan perkhidmatan bagi Sistem Metro Laluan Selatan Al Mashaaer Al Mugaddassah di Arab Saudi yang beroperasi selama tujuh hari setahun ketika musim haji,” jelasnya.