Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Dong Woo berkata, pembinaan loji PP3 itu juga mampu memenuhi permintaan pasaran polypropylene di Malaysia, Indonesia, China dan negara-negara Asia Tenggara.

“Menerusi pengoperasian loji PP3, syarikat berkenaan juga mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 640 kilotan setahun (KTA).

“Tambahan kapasiti pengeluaran 200 KTA yang dihasilkan oleh loji PP3 akan meningkatkan kecekapan dan daya saing syarikat,” katanya berucap pada pe­rasmian loji PP3 di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh.

Loji PP3 yang menelan kos RM640 juta dibina pada Mac tahun lalu dan siap pada Jun lalu dengan menggunakan teknologi yang disediakan oleh syarikat induk LCT, Lotte Chemical Corporation Korea (LCC).

Loji polypropylene ketiga yang dibina syarikat itu merupakan sebagian daripada pelan pengembangan syarikat selepas PP1 dan PP2 yang telah memulakan operasi komersial pada 1991 dan 1999.

Dong Woo berkata, syarikat itu akan meneruskan rancangan pengembangan dengan visi untuk menjadi syarikat petrokimia teratas di rantau Asia Tenggara.

“Dengan siapnya loji PP3, tumpuan syarikat seterusnya adalah untuk membangunkan kemudahan petrokimia bersepadu di Indonesia (IPF),” katanya.