Alin Tapalaga (kiri) dan Florian Steiner.

Pengarah Urusan VPCM, Alin Tapalaga berkata, VPCM yang diterajui oleh dua orang pengarah urusan akan memantau operasi jenama dan sumber manusia bagi syarikat berkenaan, sementara Florian Steiner pula bertanggungjawab ke atas aspek selepas jualan, teknologi maklumat dan kewangan.

Ujarnya, fokus utama VPCM adalah bagi melibatkan strategi jualan menerusi produk-produk pada masa depan di samping mengukuhkan rangkaian pengedar Volkswagen, servis dan alat ganti.

“VPCM benar-benar komited terhadap pertumbuhan masa depan Volkswagen di sebalik landskap automotif Malaysia yang sangat kompetitif.

“Dengan pasukan pengurusan sedia ada yang mantap, kami akan berusaha untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lengkap kepada pelanggan.

“Kami juga akan menambah rangkaian model pemasangan tempatan (CKD) dan terus mengimport model kenderaan dipasang sepenuhnya (CBU) ke negara ini,” katanya dalam ke­n­ya­taan di sini hari ini.

Sementara itu, Steiner berkata, bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan produk-produk Volkswagen, VPCM akan memperkenalkan jaminan pengilang selama lima tahun bagi semua kenderaan Volkswagen yang dibeli mulai 1 September lalu.

“VPCM juga akan melancarkan dua model penting Volkswagen iaitu Jetta baharu dan Passat serba baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Aspek kepuasan pelanggan kekal menjadi keutamaan kami. Untuk mencapai semua ini, kami sedar pentingnya hubungan yang mantap dengan para pengedar. Kami akan terus bekerjasama untuk meneroka cara baharu meningkatkan lagi pengalaman para pelanggan,” kata Steiner.