Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, peruntukan sebanyak RM50 juta untuk segmen pelaburan ekuiti, RM40 juta bagi segmen francais, kira-kira RM30 juta untuk hartanah dan selebihnya bagi segmen latihan.

Bagi segmen perladangan, katanya, PNS sedang menilai lima syarikat berkaitan untuk meng­anugerahkan kontrak bagi memajukan tanah miliknya seluas 486 hektar.

“Harga nilai tanah yang dibeli oleh PNS pada waktu itu kurang daripada RM30 juta,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar mengenai hala tuju PNS bagi 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PNS, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee.

Pada tahun ini, PNS melihat pelaburan ekuiti terus menjadi satu segmen yang menawarkan permintaan tinggi selain sektor francais yang kekal menarik untuk diperkembangkan.

Sehingga kini, segmen ekuiti menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan keseluruhan PNS iaitu sebanyak 60 peratus, dan diikuti oleh segmen hartanah iaitu hampir 30 peratus, francais kira-kira 15 peratus serta latihan kurang daripada dua peratus.

Segmen ekuiti terdiri daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat swasta dan senaraian awam, manakala portfolio hartanah antaranya merangkumi pelaburan PNS dalam hartanah komersial bagi menyediakan ruang niaga kepada para usahawan untuk disewa.

Mengenai pinjaman tidak berbayar (NPL) bagi pembiayaan yang dikeluarkan, Syed Kamarulzaman berkata, buat masa ini ia berada pada kadar kira-kira 24 peratus.

“Kami berhasrat untuk menurunkan angka ini kepada satu digit dengan sasaran dapat dikurangkan kepada 22 peratus untuk tahun ini.

“PNS mengatur pelbagai strategi termasuk memberi pinjaman berkualiti dan tidak hanya mementingkan kuantiti selain terus melaksanakan pelbagai program bimbingan kepada para usahawan bagi membentuk ciri keusahawanan yang bertanggungjawab,” jelasnya.