Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, dalam konteks ini, PNB tidak berhasrat untuk mengambil alih tugas mana-mana peranan agensi kerajaan atau swasta yang membina rumah mampu milik se­perti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1­MA) atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Apa yang kita buat sekarang adalah melengkapi keperluan perumahan mampu milik di negara ini dan ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat PNB.

“Jadi dalam perkara ini, kita tidak terlibat sepenuhnya sebab ini bukan bisnes kita,” katanya selepas majlis Berbuka Puasa PNB Bersama Anak-anak Yatim di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Beliau diminta mengulas me­ngenai cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baru dilantik, Zuraida Kamaruddin untuk menyera­gamkan kesemua skim perumahan mampu milik termasuk PR1­MA di bawah satu program bagi mengelakkan pertindihan.

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan setelah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.

Di bawah cadangan itu, kementerian akan memastikan program rumah mampu milik dapat diperluaskan kepada lebih ramai kumpulan sasar dan membantu mereka untuk memiliki kediaman.

Antara cadangan lain terma­suklah penubuhan Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang akan meng­gabungkan kesemua fungsi daripada pelbagai agensi yang turut berperanan mengawal selia pembinaan rumah mampu milik, menyelaras pangkalan data bagi rumah tidak terjual dan menguruskan skim sewa untuk dimiliki bagi kumpulan B40 dan M40.

PNB berhasrat membina 5,000 buah rumah mampu milik di seluruh negara mulai Jun ini yang berharga antara RM180,000 hingga RM200,000 sebuah.

Sebagai permulaan 2,000 buah rumah akan dibina di tiga lokasi di Negeri Sembilan iaitu Bagan Pinang, Pedas dan Rembau manakala dua lagi di Selangor (Banting dan Telok Datuk).

Menurut Abdul Wahid, bagi projek rumah mampu milik di Sungai Sedu, Banting, ia melibatkan 1,500 buah dengan nilai pembangunan kasar RM300 juta.

“Untuk itu, kami berharap mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri bagi mendapatkan tanah-tanah yang bersesuaian supaya pembinaan rumah mampu milik ini dapat diperluaskan. Setakat ini, projek-projek yang dibangunkan ini melibatkan tanah milik PNB,” katanya.