Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pertumbuh­an yang menurun sejak tahun lalu itu berikutan kebanyak­an para pelabur sudah hampir mencapai had pelaburan yang ditetapkan.

Katanya, antara dana pelaburan yang menjadi pilihan majoriti pelabur adalah dana Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Jelas beliau lagi, setiap unit amanah saham memiliki had pelaburan seperti RM200,000 bagi ASB, justeru peningkatannya dari setahun ke setahun selepas itu akan berkurangan.

“Pada tahun ini, kami menjangkakan prestasi bagi sektor korporat lebih baik dari segi pendapatan yang diunjur iaitu berkembang lima hingga tujuh peratus.

“Ia seterusnya akan memberi peningkatan signifikan kepada indeks FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dan mendorong pertumbuh­an kepada dana-dana,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Jalinan Rakan Korporat Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 (MSAM 2017) di sini hari ini.

MSAM 2017 akan diadakan pada 20 hingga 25 April ini di Dataran Temerloh, Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang, dengan tema ‘Pelaburan 360 Hari’.

MSAM yang dianjurkan pada setiap tahun semenjak 2000 telah menarik lebih 3.3 juta pengunjung, untuk MSAM 2017, PNB menyasarkan penyertaan 150,000 pengunjung.

Dalam pada itu, Wahid berkata, program MSAM telah menyumbang unit dalam edaran kepada 212 bilion unit pada penghujung 2016.

“Ia merupakan sebahagian besar daripada keseluruhan RM260 bilion yang diurus oleh PNB,” katanya.