Malah, institusi pelaburan itu yang kini menggembleng 217 bi­lion unit dalam edaran setakat Ogos 2017 menetapkan sasaran untuk meningkatkan ekuiti patuh syariah dalam portfolio pelaburannya daripada 66 peratus kepada lebih 75 peratus menjelang 2020 dan menempatkan pasaran wang dan sekuriti pendapatan tetap patuh syariah kepada 100 peratus pada Mei 2018 berbanding 75.2 peratus setakat Julai tahun ini.

Di peringkat PNB sendiri, beberapa penambahbaikan dilaksa­nakan di bawah Lembaga Pena­sihat Syariah PNB, antaranya mem­­buat analisis berkaitan lapangan pelaburan patuh syariah yang berpotensi, penilaian terhadap saham syarikat tersenarai dan tidak tersenarai di Bursa Malaysia dan menggantikan aktiviti anak-anak syarikat PNB yang tidak patuh syariah kepada patuh syariah.

Usaha itu terbukti berkesan apabila baru-baru ini, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar memberitahu, kesemua negeri di Malaysia sudah pun memberi kelulusan ‘Harus’ kepada produk ASNB terutama Amanah Saham Bumiputera (ASB) apabila Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang membuat keputusan tersebut pada 15 Ogos lalu.

Abdul Wahid sebelum ini menegaskan, PNB tidak ada masalah tidak melabur dalam syarikat-syarikat berkaitan arak, tembakau dan perjudian kerana masih ba­nyak lagi syarikat lain yang menjalankan aktiviti lebih mapan.

“Daripada aset diuruskan PNB sebanyak RM268.6 bilion, 69 peratus daripada jumlah itu dalam ekuiti awam dan daripada itu, 55 peratus dalam syarikat strategik. Kita juga memiliki 48 peratus pegangan dalam Maybank. De­ngan kumpulan PNB memegang ekuiti yang besar dalam Maybank, ia membolehkan bank ini melantik pengurusan yang peka kepada perkembangan perbankan Islam,” katanya di sini baru-baru ini.

Selain PNB, Kumpulan Wang Sim­panan Pekerja (KWSP) juga bersedia meningkatkan pe­la­bu­rannya dalam dana ekuiti swasta (PE) yang mematuhi syariah. Bagi suku ke­dua berakhir 30 Jun 2017, simpanan patuh syariah KWSP berjumlah RM820.71 juta daripada RM11.51 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburannya, manakala RM10.69 bilion dijana daripada simpanan konvensio­nalnya.

Bagaimanapun, dalam usaha memperkukuhkan agenda patuh syariah dalam kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) di negara ini, ia secara dasarnya memerlukan satu standard dan kerangka kerja yang lengkap bagi melaksanakan tadbir urus syariah.

Dalam satu sesi perbincangan pada Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan Syariah PNB-Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani berkata, syarikat-syarikat besar misalnya Sime Darby dan Petronas boleh mempunyai panel komuniti syariah masing-ma­sing bagi melaksanakan tadbir urus syariah.

“Majoriti perniagaan di negara ini adalah patuh syariah dan pro­duk yang ada di dalam pasar­an juga patuh syariah cuma yang menjadi persoalan adalah per­niagaan yang dijalankan tidak semestinya mematuhi keperluan syariah.

“Sebenarnya terdapat keperluan bahawa patuh syariah ini boleh dikembangkan dalam pelbagai sektor termasuk wakaf, trading, koperasi ataupun perniagaan khusus seperti minyak dan gas dan perladangan kerana semua perniagaan ini selaras dengan keperluan patuh syariah,” katanya yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic.

Berkongsi pengalamannya pada peringkat awal penubuhan CIMB Islamic, katanya, tidak ada sebarang keperluan mewujudkan komuniti syariah di peringkat dalaman dan beliau mengemukakan cadangan tersebut kepada kumpulan dan mereka perlu dilantik oleh ahli lembaga pengarah dan bukannya pengurusan.

“Walaupun ia menimbulkan banyak persoalan tetapi Alhamdulillah, usaha ini amat berbaloi kerana apabila tadbir urus syariah dilaksanakan dengan teratur ia kemudiannya menyaksikan pasaran CIMB Islamic berkembang dan sejak 2002, CIMB menjadi antara peneraju bagi transaksi dan juga bagi bon dan sukuk islamik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penasihat Pengurusan Bisnes, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Razli Ramli berkata kepada Utusan Malaysia, sejak 2011, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mewujudkan Kerangka Tadbir Urus Syariah dan mewujudkan 14 Standard Syariah untuk kontrak yang diguna pakai oleh institusi kewangan di Malaysia.

Katanya, kewujudan piawaian atau kerangka kerja khusus untuk tadbir urus syariah mencetuskan lembaran baharu kepada negara apabila ia berkembang kepada bidang lain seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi Garis Panduan Tadbir Urus Syariah GP28 pada 2015 dan juga Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteras Syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2017.

“Saya percaya banyak lagi institusi atau organisasi akan mengambil inisiatif yang sama untuk menyediakan piawaian atau kerangka kerja khusus untuk tadbir urus syariah dalam ekosistem bidang mereka,” katanya.