Katanya, ASN Equity 5 adalah dana pertumbuhan ekuiti yang dikhususkan kepada pelabur generasi muda dengan matlamat pertumbuhan agresif dalam modal dan nilai bersih, untuk menjana tahap peningkatan modal dan pengagihan pendapatan yang munasabah melalui kepelbagaian portfolio pelaburan.

“ASN Sara 2 adalah dana konservatif aset bercampur-campur dikhususkan untuk pelabur yang lebih matang dan tidak mahu mengambil risiko tetapi ingin merancang untuk menjana aliran pendapatan yang stabil dengan potensi pertumbuhan jangka panjang.

“PNB percaya bahawa ini adalah masa sesuai untuk me­lancarkan produk-produk harga berubah kerana dana sedia ada telah mencapai saiz optimum dan dana baharu akan membolehkan ASNB menawarkan produk-produk yang lebih pelbagai di bawah setiap kategori dana bagi memenuhi keperluan pelabur,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Harga tawaran permulaan bagi kedua-dua ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 adalah RM1.00 seunit sepanjang tempoh penawaran permulaan selama 21 hari iaitu mulai 24 September hingga 8 Oktober 2018.

Pelaburan permulaan minimum bagi kedua-dua dana adalah RM10.00 dan pelaburan tambahan minimum adalah RM1.00.

Di samping pelancaran dua dana baharu tersebut, penamaan semula dana unit amanah harga tetap ASNB telah diperkenalkan untuk memberi pemahaman yang lebih mudah dan jelas dengan memanfaatkan legasi kukuh jenama dana unit amanah tersebut.

PNB juga mengumumkan peng­agihan pendapatan 6.00 sen seunit untuk Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang akan dinamakan semu­la sebagai Amanah Saham Malaysia 3 berkuat kuasa 15 Oktober 2018.
Ia melibatkan agihan pendapatan berjumlah RM755 juta memberi manfaat kepada lebih 440,000 pemegang akaun yang memiliki sebanyak 12.7 bilion unit.

Mulai 15 Oktober ini, Amanah Saham Didik dijenamakan semula sebagai Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) dan Amanah Saham Wawasan 2020 kepada Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan.