Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz ber­kata, pengurusan risiko menjadi sangat penting bagi perniagaan kerana persekitaran pada masa depan akan menjadi sa­ngat berbeza dan lebih mencabar kerana ia tidak stabil, lebih kompleks, saling berkaitan dan sangat mengganggu.

Katanya, memiliki kepelbagaian dalam portfolio pelaburan merupakan strategi yang hebat bagi sesebuah organisasi untuk membina daya tahan kerana jika satu segmen menghadapi kesukaran, satu lagi segmen mungkin berfungsi dengan baik.

“Anda harus sedar risiko apa yang terdapat dalam persekitaran bagi membolehkan anda mengurus dan mengurangkannya. Jika berbuat demikian, ia akan memberikan kemapanan.

“Apabila berada dalam situasi dan masa yang baik, kita perlu membina penampan, dan bila masa sukar kita boleh bergantung kepada simpanan yang dibina supaya dapat bertahan dan mengharungi tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan biografi korporat komprehensif In Trust: A History of PNB yang pertama di sini.

Yang turut hadir, bekas Pe­ngerusi PNB, Tun Ahmad Sarji; Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Penulis Buku In Trust: A History of PNB, Professor Nicholas J. White.

Dalam pada itu, In Trust: A History of PNB menceritakan se­jarah penubuhan PNB sebagai alat penting Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dilaksanakan demi menangani ketidakseimbangan sosial pada 1970-an di Malaysia.

Zeti berkata, ia juga memuatkan dokumentasi evolusi empat dekad PNB sehingga dikenali sebagai syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia.

“Biografi yang padat dengan maklumat ini membolehkan para pembaca memahami bagaimana sifat amanah dan kepercayaan membentuk kekuatan PNB,” katanya.

Zeti berkata, PNB juga akan menerbitkan naskhah berkenaan dalam bentuk digital supaya ia dapat diakses oleh lebih ramai pembaca.

“Kami juga akan menyediakan beberapa salinan bagi perpustakaan sekolah, universiti dan perpustakaan lain di seluruh negara kerana saya percaya pembangunan negara adalah mengenai pembangunan institusi dan PNB mewakili satu daripada institusi yang dibina de­ngan asas yang mantap dan masih kekal mapan,” katanya.

Buku tersebut akan mula dijual di semua kedai buku utama di seluruh negara dan secara dalam talian melalui MPH Online bermula 10 Disember depan pada harga RM150 bagi edisi kulit keras dan RM120 untuk edisi kulit nipis.