Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sejak amanah saham pertama PNB iaitu, Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang dilancarkan pada tahun 1981 diperkenalkan, ASNB tidak pernah gagal mengisytiharkan dividen dan bonus yang kompetitif setiap tahun.

Beliau berkata, kini PNB mempunyai 12 dana amanah saham dan menguruskan 219 bilion unit yang dimiliki oleh lebih 13 juta peme­gang akaun.

“ASNB tidak pernah gagal untuk mengisytiharkan dividen dan bonus yang kompetitif setiap tahun kepada pemegang unitnya dan pada tahun lalu sahaja, sejumlah RM14.38 bilion telah diedarkan dalam bentuk dividen dan bonus.

“Bukan itu sahaja malah PNB telah berjaya melaksanakan semua inisiatif di bawah teras pertama Strive-15 yang memberi tum­puan kepada peningkatan pula­ngan yang mampan kepada para pelabur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi menghargai ejen-ejen, pejabat-pejabat ca­wa­ngan dan organisasi-organisasi yang telah berjaya menggalakkan tabungan dan melabur dalam unit amanah ASNB, PNB telah me­ng­adakan ASNB Starz Awards Nite 2017 bagi meraikan seramai 69 pemenang daripada 18 kategori pada majlis malam penghargaan yang diadakan hujung minggu lalu.

“Ejen-ejen dan organisasi ASNB sememangnya telah menunjukkan semangat dan komitmen untuk mencapai aspirasi PNB dan ASNB terutamanya dalam melaksanakan semua inisiatif di bawah teras pertama Pelan Strategik atau Strive 15 (2017-2022).

“PNB telah berjaya melaksanakan semua inisiatif di bawah teras pertama Strive-15 yang memberi tumpuan kepada peningkatan pulangan yang mampan kepada para pelabur dan mereka telah menunjukkan kecemerlangan dalam memainkan peranan masing-masing serta mempamerkan prestasi yang terpuji,” katanya.

Pada majlis penghargaan ter­se­but, Maybank muncul sebagai juara keseluruhan, dengan memenangi tiga anugerah utama pada malam itu, iaitu Top Starz Award untuk prestasi terbaik dengan memperoleh mata terkumpul yang tertinggi untuk se­mua kategori yang dipertandingkan, PNB Award sebagai ejen yang mempamerkan prestasi terbaik untuk semua produk ASNB serta Best Managed ASNB Agent sebagai ejen terbaik dalam mengendalikan cawangan mereka untuk transaksi ASNB.

Maybank juga merangkul Excellent Service Awards sebagai pemenang tiga tempat teratas melalui cawangan Maybank 7th Mile Bazaar, Kuching, Maybank Medan Jaya, Bintulu dan Maybank Sibu masing-masing di tempat pertama, kedua dan ketiga. Anugerah ini adalah berdasarkan perkhidmatan terbaik dengan kesilapan sifar dan tiada aduan serta jumlah transaksi tertinggi untuk semua produk.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Datuk Sulaiman Mohd Tahir turut me­nerima anugerah Inspirational Star Award untuk ketegori ejen baharu terbaik.