Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMB, Datuk Nazim Rahman berkata, penganugerahan kali ini adalah kemenangan hatrik setelah berjaya memperoleh pengiktirafan daripada Morningstar, syarikat penyelidikan pelaburan bebas antarabangsa pada minggu lepas.

“Ia membuktikan dana-dana PMB Investment berupaya memberi pulangan yang baik justeru masyarakat pelabur seharusnya mengambil kesempatan ini untuk membuat perancangan pelaburan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PMB Shariah Growth Fund (PMB SGF) memenangi anugerah Dana Ekuiti Malaysia Terbaik bagi tempoh tiga tahun berakhir 31 Disember 2017 dengan prestasi pulangan yang direkodkan adalah sebanyak 50 peratus.

PMB Investment turut memenangi anugerah Dana Ekuiti Pendapatan Malaysia Terbaik bagi tempoh tiga tahun dan lima tahun berakhir 31 Disember 2017 melalui PMB Shariah Dividend Fund (PMB SDF).

Dana itu telah merekodkan pulangan sebanyak 36 peratus bagi tempoh tiga tahun dan 45 peratus bagi tempoh lima tahun berakhir 31 Disember 2017.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, dana lain yang turut memenangi anugerah adalah PMB Shariah Aggresive Fund (PMB SAF) dalam kategori Dana Ekuiti Malaysia Terbaik bagi tempoh lima tahun berakhir 31 Disember 2017 dengan merekodkan prestasi pulangan sebanyak 112 peratus.

Jelasnya, sebelum ini, PMB SAF pernah memenangi anugerah di The Edge-Lipper Awards Malaysia 2014 bagi Kategori Ekuiti Syariah Terbaik Malaysia bagi tempoh tiga tahun berakhir 2013.

“PMB SAF juga pernah membolot tiga anugerah utama pada majlis penganugerahan bagi 2016 apabila memenangi Anugerah Dana Ekuiti Terbaik Malaysia Keseluruhan bagi tempoh tiga tahun berakhir 31 Disember 2015.

“Dengan penganugerahan ini, kami bertambah yakin untuk mengorak langkah ke pasaran Asia Tenggara dengan memperkenalkan satu dana baharu,” katanya.

Pengumuman berkaitan dana tersebut akan dimaklumkan pada minggu hadapan. - UTUSAN ONLINE