Pengerusi Technology Park Malaysia, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, pendekatan itu juga dapat mengekang penglibatan generasi baharu dalam medium pelaburan yang salah memandang­kan mereka teruja untuk mengumpul kekayaan pada usia yang muda.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, terdapat segelintir daripada mereka menjadikan pasaran saham sebagai tempat perjudian tanpa mempunyai ilmu dan selok-belok dalam dunia saham.

“Tetapi sekiranya mereka dididik daripada peringkat awal, saya yakin ini dapat meningkatkan penyertaan generasi baharu dalam pasaran saham tetapi dengan ilmu. Ini bermakna akan ada pemain saham yang mahu mendapat keuntungan jangka panjang dan membuat penilaian secara ilmiah dengan mengambil kira semua maklumat yang ada.

“Atas sebab itu, saya melihat usaha yang dibuat oleh Kumpulan Utusan ini adalah satu pendedahan yang amat baik. Apatah lagi, tidak ada akhbar Melayu yang banyak memaparkan tentang pasaran saham dan jika kita membacanya perlu mendapatkan The Edge atau Financial Times,” katanya selepas majlis perasmian Simposium Saham Utusan 2017 di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pe­nga­rang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Moha­mad. ­

Simposium itu yang dianjurkan kali pertama oleh Utusan Malaysia berjaya menarik lebih daripada 1,000 peserta untuk mempelajari selok-belok dunia saham.

Selain menampilkan kolumnis tetap Cikgu Saham setiap Rabu di UtusanBiz, Zuraida Mohd. Zakaria, simposium itu turut menampilkan tiga lagi penceramah untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dengan para peserta.

Penceramah lain termasuklah Pengurus Shariah & Governance Islamic Capital Market, Bursa Malaysia Berhad, Muhammmad Hasanan Yunus; Penolong Pengurus Pasaran Data Jualan dan Pemasaran SI Portal.com Sdn. Bhd., Leow Cheun Yun dan Konsultan AFIQ Training & Advisory, Suzaridi Maulan.